Tun Daim ziarah Anwar di PPUM

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Tun Daim Zainuddin telah datang menziarahinya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam tadi.

Menurut beliau di Twitter, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) berkenaan hadir bersama anaknya.

Anwar, 70, berkata, mereka membincangkan pelbagai topik selain mengimbau kenangan lalu.

“Sehingga semalam terus diziarahi teman-teman. Sebelah petang oleh YB Gobind manakala sebelah malam oleh Tun Daim dan anak beliau.

“Banyak perkara dibincang sambil menghimbau kisah lama. Insha-Allah sama-sama kita bulatkan tekad memperkemas pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan,” tulisnya.

Anwar sejak 23 Jun lalu menerima rawatan di PPUM selepas mengadu sakit di bahu dan bahagian belakang sejurus tiba dari Turki pada hari yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dilapor dikejarkan ke PPUM dari kediaman di Bukit Segambut menaiki ambulans menuju wad kecemasan.

Baru-baru ini, Daim, 80, ketika ditemubual akhbar Singapura, Straits Times berkata, Anwar tidak wajar dilantik serta-merta sebagai Perdana Menteri sebaik kembali ke Parlimen.

Menurut bekas Menteri Kewangan berkenaan, tindakan untuk menukar Perdana Menteri sebegitu adalah sesuatu yang tidak bijak kerana sebarang peralihan kuasa sepatutnya berlaku pada pertengahan penggal.

9.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 9.5