Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya terpaksa menyambut bulan Ramadan pada tahun ini di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Hal ini kerana, tokoh politik yang berusia 98 tahun itu masih perlu menjalani rawatan di pusat perubatan tersebut akibat daripada jangkitan dialaminya sejak Januari lalu.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun media sosial Facebook miliknya, semalam.
Walau bagaimanapun, Dr Mahathir memaklumkan keadaan kesihatan dirinya sudah semakin pulih berkat doa yang diterimanya selain usaha gigih para kakitangan IJN.
Dr Mahathir yang juga Bekas Pengerusi Parti Pejuang (PEJUANG) itu turut berharap agar kesihatannya kembali pulih dan akan dibenarkan pulang dalam masa terdekat.
“Saya masih lagi menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat daripada jangkitan yang dialami sejak bulan Januari lalu. Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin pulih.
“(Ini) berkat doa yang diberikan serta usaha gigih para doktor, jururawat dan staf di IJN. Harap dalam masa terdekat, dapatlah saya pulih semula seperti biasa dan dibenar pulang ke rumah.
“Setakat ini, adakala saya dibenarkan pulang sekejap atau ‘home leave’ oleh pakar di sini. Tetapi saya tetap perlu bermalam di IJN,” kata bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Dalam hantaran sama, Tun Dr Mahathir turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada mereka yang mendoakan kesihatan serta kesejahteraannya bersama isteri.
Pemimpin yang mesra disapa Tun M itu turut mengambil kesempatan tersebut untuk mengucapkan selamat berpuasa dan juga menyambut Ramadan kepada umat Islam.
“Saya dan Hasmah (isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali) mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut bulan Ramadan kepada semua umat Islam khususnya.
“Alhamdulillah dapat kita bertemu dan diberi peluang untuk melakukan ibadah dan amalan sempena bulan yang amat istimewa bagi umat Islam.
“Saya ingin ambil peluang ini untuk ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan saya serta Hasmah, dan kesejahteraan kami berdua.” Ulasnya.
Terdahulu, Bekas Perdana Menteri Malaysia tertua itu dilaporkan telah dimasukkan ke IJN sejak 26 Januari lalu untuk merawat jangkitan yang dihadapinya.