Malaysia Dateline

Tun M ada ‘x-factor’ tarik pengundi Melayu

Ahli Jawatankuasa AMANAH, Hanipa Maidin berpendapat Tun Dr Mahathir Mohammad mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

Menurutnya, ciri ‘x-factor’ pada Pengerusi Bersatu itu dilihat mungkin tidak dimiliki pada pemimpin lain dalam Pakatan Harapan.

“Saya nampak Tun M (Mahathir) mampu menarik undi orang Melayu yang selama ini amat sukar ditembusi oleh pemimpin Pakatan Harapan yang lain seperti pengundi Felda.

“Lihatlah betapa hebatnya Tun M boleh dikaitkan dengan golongan artis yang digilai oleh pengundi muda,” ujarnya dipetik daripada status Facebook beliau.

Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) itu berkata demikian ketika mengulas pilihan popular Mahathir sebagai calon Perdana Menteri selain Datuk Seri Anwar Ibrahim jika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

Menganggap polemik calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan sebagai sihat dan melambangkan demokrasi subur, Hanipa berpendapat Mahathir mungkin tidak menghadapi masalah hambatan perundangan seperti Anwar.

“Namun, beliau (Mahathir) nampaknya juga tidak disenangi oleh sesetengah pihak khususnya mereka yang sukar nak lupakan apa yang beliau lakukan ketika beliau berkuasa dan menerajui negara ini.

“Saya biasa dengar rungutan dari mereka yang tidak senang dengan Tun M bahawa mereka melahirkan kebimbangan mereka jika Tun M menjadi PM (Perdana Menteri), beliau mungkin akan kembali kepada tabiat lama yang sering disinonimkan dengan kediktatoran dan kezaliman,” katanya.

Walaupun tidak menolak kebimbangan itu, Hanipa menganggap jangkaan itu masih tetap berstatus spekulasi memandangkan beberapa pemimpin pembangkang yang mempunyai pengalaman dikenakan tekanan ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri sudah menerima tokoh berkenaan.

“Logiknya, insan seperti Presiden AMANAH, YB Gelang Patah, YAB Bagan, YB Shah Alam hatta DSAI sendiri yang pernah menjadi mangsa kezaliman undang-undang drakonian di zaman Tun M, sepatutnya tidak boleh bersama dengan Tun M.

“Tapi lihatlah sifat ‘gentleman’ mereka. Begitu juga YB Permatang Pauh dan YB Lembah Pantai atau YB Puchong. Mustahil mereka lupa apa yang berlaku pada suami atau bapa mereka di zaman Tun M,” hujahnya.

Ahli Parlimen Sepang berkenaan berkata, pemimpin Pakatan Harapan terbabit mungkin sanggup melupakan sejarah pahit mereka dengan Mahathir kerana mengutamakan agenda yang lebih penting.

“Ingin selamatkan negara tercinta ini dari terus dirosakkan oleh si kleptokrat yang berselirat dengan skandal dan bebankan rakyat,” tegasnya.

Bagi pendirian AMANAH pula, Hanipa berkata, mereka sudah tentu mencontohi ‘qudwah’ atau model yang dipamerkan oleh Rasulullah s.a.w. ke atas musuhnya semasa ‘fathu Makkah’ iaitu pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 Hijrah.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tidak adil untuk terus-menerus bersangka buruk dengan Mahathir yang bersama-sama Pakatan Harapan untuk menyelamatkan negara.

Mahathir juga dilihat tidak akan bertindak sewenang-wenangnya memandangkan Pakatan Harapan mempunyai pemimpin yang tegas.

“Ya, Tun M ada sejarah yang tidak menggembirakan dahulu tetapi siapa yang tiada? Apatah lagi, Tun M pun kini menjadi mangsa kezaliman BN-Umno.

“Bagi saya, untuk berlaku adil kepada Tun M, dahulu beliau boleh dikatakan dikelilingi oleh ramai ‘yes men’ atau pak angguk yang tidak berani mungkin menegur beliau hatta jika dia melakukan kesilapan.

“Namun, keadaan sekarang jauh berbeza. Dengan wujudnya pemimpin seperti YB Shah Alam atau YB Puchong, saya tak rasa Tun M bebas seperti dalam BN dulu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat Pakatan Harapan wajib menangani kebimbangan pihak yang menganggap Mahathir mungkin kembali kepada zaman lamanya jika tokoh itu yang dipilih sebagai calon Perdana Menteri.

“Mekanismenya, bagi saya, boleh dibincangkan secara baik dan jujur. Apa pun saya amat senang sekali rakyat sudah makin tidak bincang MO1 (Malaysian Official 1) jadi PM.

“YB Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) lagi tak masuk senarai dari awal,” sindir Hanipa lagi.