Hanya boleh kata ‘ya’, Tun M akui ahli Umno tidak diberi hak bersuara

Himpunan bagi mendengar ucapan khas bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin diadakan kerana ahli parti itu tidak lagi diberi hak untuk bersuara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dilihat konsisten menyerang kepincangan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Presiden Umno itu mengakui situasi tersebut menjejaskan prinsip demokrasi dalam parti berkenaan.

Tampil berucap di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi sejurus selepas selesai ucapan Muhyiddin, Mahathir menganggap sistem demokrasi tidak lagi berjalan apabila pemimpin tidak mendengar suara pengikutnya.

“Mereka (ahli Umno) hanya boleh kata ‘ya’. Ini bermakna parti mempunyai kuasa mutlak. Mereka putuskan apa saja. Pengikut mesti terima apa pemimpin kata.

“Kita berhimpun malam ini kerana Timbalan Presiden, Naib Presiden tidak dibenarkan bercakap.

“Mereka dilarang sebut perkara-perkara tertentu seperti 1MDB, RM2.6 bilion yang ada pada ketua (Presiden Umno). Semua ini tak boleh disebut,” luah Mahathir merujuk kepada Perhimpunan Agung Umno yang bermula hari ini.

Turut menyebut tentang realiti peningkatan kos sara hidup dialami rakyat, beliau bagaimanapun menegaskan tidak menentang Umno sebaliknya hanya menolak kepimpinan Presiden Umno pada masa ini.

“Kita bukan marah kepada Umno, tidak. Kita tidak bersetuju dengan pemimpin yang ada sekarang. Saya sendiri telah cuba menasihatkan.

Jawapannya, ‘cash is king’, ‘modal itu raja’, ‘duit itu raja’,” ujar Mahathir lagi diikuti tepukan gemuruh daripada hadirin yang dilihat majoritinya adalah ahli dan penyokong Umno.

TAGS