Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang 1

Tun M bukan diktator, cuma bertegas, kata Abdul Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan seorang diktator, tetapi pemimpin negara itu adalah seorang yang tegas dalam berhadapan dengan kabinet yang lemah.

“Saya mahu ulas mengenai kenyataan yang mengatakan Tun M adalah diktator. Tun M bukanlah diktator, itu ialah ketegasan kerana beliau dipilih secara demokratik dalam pilihan raya yang lepas.

“Pakatan Harapan (PH) sendiri yang pilih beliau untuk memegang jawatan pemimpin, bukan beliau yang pilih sendiri.

“Apa yang penting adalah ketegasan… tegas dalam menghadapi barisan kabinet yang lemah,” beliau yang tanpa diminta pemberita, dengan terbuka mengulas mengenai isu itu ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dikritik keras oleh pemimpin Bersatu berikutan temubual beliau dengan akhbar Straits Times Singapura.

Nurul Izzah menggelar Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bekas diktator.

Bekas Naib Presiden PKR itu, sebelum ini melepaskan jawatannya dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), berikutan tidak bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir yang mahu mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.