Malaysia Dateline

Tun M dan Warisan jadi blok bebas dalam Parlimen

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen.

Kedua-dua parti itu juga menegaskan tidak akan bergabung dengan mana-mana gabungan.

Bahkan mereka juga menentang sebarang usaha untuk menggantikan Speaker dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menubuhkan Kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

Dalam kenyataan Ahli Parlimen Langkawi Tun Mahathir Mohamad bersama lima lagi Ahli Parlimen Bersatu berkata, perjuangan asal mereka iaitu memolak kembalinya kerajaan kleptokrasi.

Bagaimanapun Bersatu telah mengambil ketetapan untuk berpegang kepada keputusan yang telah diambil akhir bulan Jun iaitu untuk menamakan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

“Walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ia tidak melibatkan saya dan rakan-rakan dari Bersatu mahupun Warisan.

“Kami masih lagi berpegang kepada cadangan yang dibuat hasil dari perbincangan antara saya dengan pemimpin Warisan, AMANAH dan DAP pada 25hb Jun, 2020,” katanya.

Di dalam perbincangan itu, AMANAH dan DAP telah mencadangkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar serta Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Kedua.

“Saya dan rakan-rakan dari Bersatu telah bersetuju dan menyokong cadangan tersebut. Ini kerana mahu menyelesaikan kebuntuan memilih calon yang sesuai dan mampu mendapatkan sokongan untuk mendapatkan kembali mandat rakyat dari Kerajaan sekarang,” katanya.

Setelah pengumuman dibuat 27 Jun, DAP dan AMANAH bagaimanapun, katanya, apabila menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH pada 6 Julai 2020 telah tidak berpegang kepada keputusan menamakan Datuk Seri Shafie dan sebaliknya menamakan Datuk Seri Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Bagi pihak kami, mencalonkan Datuk Seri Shafie sebagai Perdana Menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil.

“Ia bukan sahaja kerana kita percaya dia akan berkeupayaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tetapi juga satu langkah ke hadapan demi mempertingkat hubungan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak,” ujarnya.