Sewajarnya Tun Mahathir sudah tidak mencampuri dan memberi komen negatif serta pandangan berbentuk prejudis terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri (PM) 10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Aktivis masyarakat, Hasni Saad yang pernah menerajui beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Pulau Pinang berkata, Tun sepatutnya sedar kegemilangan beliau telah pudar apabila keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-15 baru-baru ini menyaksikan kesemua 117 kerusi Parlimen yang ditandingi partinya kecundang dan tidak mendapat kepercayaan majoriti pengundi.
“Adalah tidak adil melemparkan tanggapan negatif yang berbentuk prejudis terhadap kepimpinan PM10 sedangkan pemerintahan beliau masih singkat dan belum pun mencecah 100 hari.
” Namun begitu dalam tempoh yang singkat terbukti Anwar mampu membuat perubahan drastik demi membela nasib rakyat yang mengharapkan pembelaan setelah mandat diberikan.
” Reform awal membantu pesawah miskin dengan jumlah sebanyak RM10 juta bagi tahun 2022 dan RM50 juta bagi tahun 2023 adalah suatu pembaharuan yang amat dinantikan para pesawah,” ujar beliau ketika ditemui.
Tegas Hasni lagi, peruntukan segera bagi negeri Kelantan dan Terengganu bagi membantu mangsa banjir sebanyak RM100 juta dengan mengnepikan segala perbezaan ideoligi politik merupakan tindakan terbaik yang seharusnya disokong.
Malah tambahnya, bantuan awal persekolahan menjelang sesi persekolahan tidak lama lagi sebanyak RM150 tanpa mengambil kira pendapatan keluarga serta beberapa reformasi yang telah dan sedang direncanakan oleh Anwar membuktikan beliau peduli dan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi rakyat khususnya golongan marhaen.
Sejajar dengan itu saran beliau, Tun serta pimpinan politik yang lain sepatutnya memberi ruang sepenggal kepada Anwar untuk membuktikan kredibiliti beliau sebelum pelbagai terjahan, prasangka buruk dilemparkan.
Kata Hasni lagi, sudah sepatutnya Tun ingat bidalan popular bak kata pepatah ‘enough is enough’ lah Tun.