Malaysia Dateline

Tun M, jika Anwar dibenar jadi PM, habislah para koruptor, cukong dan keluarga kamu

Tun Mahathir,

Pada tahun 1998, kamu mengheret ketua-ketua polis, para hakim dan Peguam Negara untuk merekayasa sebuah fitnah seksual yang jijik bertujuan menyumbatkan Anwar dalam penjara. Ia adalah satu kospirasi peringkat tinggi bagi menghalang Anwar menjadi PM.

Ia adalah manifestasi ketakutan kamu terhadap sikap Anwar memerangi rasuah, manakala dikeliling kamu ialah para koruptor dan penjarah wang rakyat tingkat tinggi.

Keengganan Anwar sebagai menteri kewangan untuk meluluskan wang negara bagi menyelamatkan syarikat perkapalan anak kamu yang mengalami kerugian berbilion ringgit menyebabkan kemurkaan kamu. Kamu marah benar bila Anwar meminta sebuah firma audit bebas, PWC untuk menyiasat Perwaja yang kerugian sekitar RM12 billion. Kenapa? Kerana ia diketuai oleh kroni kamu. Ia adalah sebuah contoh dari senarai panjang.

Jika Anwar dibenar jadi PM, habislah para koruptor, cukong-cukong dan keluarga kamu.

Selepas Anwar kamu pecat, kamu kata Anwar jadi tali barut Amerika. Kerana itu, kamu mengikat Ringgit Malaysia dengan Dollar Amerika kononya untuk menyelamatkan ekonomi negara. Pada hal yang kamu buat sebenarnya ialah menyelamatkan anak-anak dan kroni kamu yang menjalankan perniagaan menggunakan Dollar Amerika. Biar negara rugi puluhan billion, yang penting kroni kamu selamat.

Pada Oktober 2003, perdana menteri bertukar tangan kepada Pak Lah. Tahun berikutnya, pada 2 September 2004, Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar dari segala tuduhan.

Dari Singapura kamu melatah dan menyindir keras dengan berkata: “Sesiapa nak buat salah, datang ke Malaysia!” Marah benar kamu, sedangkan kamu yang merekayasa fitnah tersebut. Kenapa? Kerana usaha kamu ketika itu gagal?

Mari jawab soalan-soalan ini.

Betul atau tidak beberapa hari sebelum keputusan pembebasan tersebut dibaca, kamu berusaha untuk mempengaruhi hakim-hakim supaya menukar keputusan bagi terus memenjarakan Anwar? Betul atau tidak kamu bersama tokoh-tokoh utama dari Pahang dan mantan tokoh-tokoh utama dalam bidang perudangan terus berusaha menyediakan kertas pertuduhan versi kamu untuk dibaca oleh para hakim? Benar atau tidak usaha ini berterusan sehingga beberapa jam sebelum hakim membaca keputusan sekitar jam 10 pagi?

Kemudian, menjelang PRU 14, kamu datang berjumpa Anwar di mahkamah dan menyatakan untuk berkerjasama bagi menjatuhkan Umno/BN. Anwar punya pilihan untuk menolak, tetapi bersikap berlapang dada dan sanggup mengenepikan sengketa dan menerima huluran tangan kamu. Rata-rata rakyat Malaysia menyangka kamu telah berubah dan insaf serta sanggup melupakan kezaliman kamu dan kembali menyokong kamu. Tetapi rakyat mulai sedar mereka tertipu sebaik saja kamu diberi kuasa semula.

Apabila memegang jawatan Perdana Menteri di era PH, paranoid yang menjadi mimpi ngeri kamu 23 tahun lalu datang kembali. Jika Anwar dibenar jadi PM, habislah para koruptor, cukong-cukong dan keluarga kamu. Sekali lagi kamu harus menghalang Anwar.

Soalan: Betul atau tidak selepas sebulan menjawat semula jawatan perdana menteri di era PH, kamu cuba menghalang proses pengampunan Anwar?

Betul atau tidak, kamu sengaja melantik mana-mana pemimpin atau Ahli Parlimen PKR yang tidak bersetuju dengan Anwar ke jawatan penting? Ini bagi melemahkan mantan timbalan perdana menteri itu dan seterusnya menghalang dari menjadi PM?

Betul atau tidak kamu adalah dalang sebenar Langkah Sheraton yang menjatuhkan PH?

Betul atau tidak tujuan kamu meletak jawatan ialah supaya kamu dilantik semula sebagai seorang PM yang mempunyai kuasa penuh? Seorang PM yang tidak lagi terikat dengan janji PH supaya menyerahkan jawatan PM kepada Anwar?

Wahai Tun Mahathir,

Soalan-soalan yang dikemukan di atas kekal sebagai pertanyaan – kamu punya hak untuk menjawab atau menafikan.

Tetapi fakta tetap kekal sebagai fakta – bahawa kamu sebenarnya ialah pemusnah bangsa. Sebuah negara, seluruh institusi sanggup kamu hancurkan demi melampiaskan dendam kesumat di hati kamu. Inspirasi rakyat sanggup kamu khianati demi menyelamatkan kroni dan keluarga kamu.