Tun M keluar Umno: Gelombang ubah lanskap politik tanahair, kata Azmin

Tun M keluar Umno: Gelombang ubah lanskap politik tanahair, kata Azmin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Keputusan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno akan mempunyai pengaruh besar dan impak dalam mengubah lanskap politik tanahair.

Pandangan ini dilontarkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan malam ini.

” Kita sedang menyaksikan gelombang perubahan dalam politik Malaysia. Tembok-tembok pemisahan yang dibina bertahun-tahun atas politiking akhirnya runtuh.

“Kenyataan hari ini oleh Tun M, orang yang bertanggungjawab membawa Umno ke puncak kekuasaan dan kejayaan, memberi makna beliau akhirnya telah hilang harapan dengan partinya.

“Kesan dari tindakan mengejut tetapi berani tersebut masih belum sepenuhnya difahami,” ujar Azmin.

Kata Azmin lagi belum pernah semua institusi demokrasi berperlembagaan dinodai sebegini rupa dan ibu kepada segala skandal kewangan berleluasa dengan pelakunya bebas tanpa sebarang tindakan.

“Prinsip-prinsip asas tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan, dilanggari. Belum pernah dalam sejarah negara kita begitu banyak kerosakan dilakukan oleh segelintir manusia.

“Akibatnya, rakyat membayar harga yang amat mahal akibat dari jenayah rasuah dan salah guna kuasa di Putrajaya.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik, kaum, kepercayaan dan agama untuk bersama kerana sesungguhnya masanya telah tiba bagi semua warga yang peduli untuk bertindak dan mencipta perubahan hakiki dan bermakna,” ujarnya.

TAGS