Tun M keluar Umno: Langkah tepat elak mudaratkan parti, kata Salleh

Tun M keluar Umno: Langkah tepat elak mudaratkan parti, kata Salleh

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah tepat apabila beliau keluar daripada Umno, memandangkan hubungan beliau dengan Umno atau pemimpinnya sudah tidak boleh dipertahankan lagi,kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Melalui catatan terbaru dalam laman blognya hari ini, Salleh berkata: “Tindakan Dr Mahathir memudaratkan parti dan adalah kelihatan tidak logik sekiranya beliau terus berada dalam parti, dan pada waktu yang sama, menentang parti Umno, maka beliau perlu berbuat demikian di luar Umno. Itu merupakan perbuatan mulia dan beretika untuk dilakukan.”

Salleh berkata ini kali ketiga Dr Mahathir meninggalkan Umno.

Kali pertama ialah apabila beliau dipecat presiden parti ketika itu Tunku Abdul Rahman. Beliau keluar daripada Umnopada 2008 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui parti itu.

Salleh berkata beliau sedih dengan episod kali ini, bukan kerana Dr Mahathir sekali lagi meningglkan Umno, tetapi kerana keadaan pengundurannya.

Tiada siapa boleh menafikan Tun Mahathir banyak berjasa kepada negara sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, “walaupun tempoh beliau menyandang jawatan itu, tidaklah bebas sepenuhnya daripada kecacatan.”

“Tetapi, peristiwa yang berlaku pada tahun lepas serta pengundurannya hari ini akan lebih diingati daripada kebaikan yang telah beliau lakukan.

“Saya ingin melihat sisi baik dan buruknya secara saksama dan ingin mengingatkan orang ramai bahawa walaupun ini merupakan sesuatu yang menyedihkan dalam sejarah parti, terdapat juga perkara yang baik dan kita perlu menerima gandingan kedua-duanya.

Salleh berkata, beliau sedar, “perkara itu tidak akan berakhir di sini dan kita akan terus mendengar daripada Dr Mahathir”.

“Saya hanya berharap agar kita dapat menjaga maruah dan tertib serta tidak membawa negara terjerumus ke dalam politik longkang.

“Dan, dengan penuh keikhlasan, saya mengharapkan yang terbaik bagi Dr Mahathir pada masa akan datang,” katanya.

TAGS