Tun M keluar Umno: Sudah dijangka ada agenda sendiri, kata komponen BN

Tun M keluar Umno: Sudah dijangka ada agenda sendiri, kata komponen BN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada parti itu dilihat lebih bersifat peribadi dan mempunyai agenda tersembunyi, menurut pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Mereka berpendapat demikian ketika diminta mengulas pengumuman Dr Mahathir keluar daripada Umno pada sidang media hari ini .

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata keputusan Dr Mahathir itu merupakan hak peribadinya.

“Itu adalah keputusan peribadi beliau kerana tiap-tiap orang mempunyai hak untuk menentukan bahawa mereka terus menjadi anggota sesuatu sistem atau keluar daripada sistem itu,” katanya.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula tidak terperanjat dengan tindakan bekas perdana menteri itu berdasarkan tindak-tanduknya sebelum ini yang lantang mengkritik kepimpinan sedia ada.

“Sebelum ini pun beliau tidak setuju dengan Pak Lah (perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi) sehingga mengutuknya dan keluar parti. Kali ini dengan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) pula. Saya tidak terperanjat.

“Apa sekalipun, kita kena hormati keputusannya. Kita kena lihat perkara ini dari sudut bagaimana BN perlu menghadapi apa-apa impak selepas ini dan terus bergerak ke hadapan demi pembangunan dan agenda rakyat,” katanya.

Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng berkata ini bukan kali pertama Dr Mahathir keluar daripada UMNO dan kemudian sertainya semula.

“Apa yang beliau cuba lakukan?” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Kader menyifatkan tindakan itu seperti kebudak-budakan dan tanda protes dengan kepimpinan apabila ‘apa yang diminta atau disuarakan’ sebelum ini tidak diikuti UMNO.

Menurutnya, tindakan Dr Mahathir itu bukan perkara baharu kerana pernah dilakukan sewaktu kepimpinan Abdullah dan kali ini pada kepimpinan Najib.

“Rakyat Malaysia sudah cukup hormat beliau sebelum ini. Tapi dengan tindakan ini dan kenyataan mengkritik kepimpinan, menyertai demonstrasi haram, ini semua bukan satu cara yang betul dalam menyelesaikan masalah atau krisis,” katanya.

TAGS