Malaysia Dateline

Tun M letak jawatan, Azmin dan Zuraida dipecat

Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan perletakan jawatannya tengahari tadi, beberapa jam kemudian PKR pula mengumumkan pemecatan dua ahli pimpinan tertingginya.

Dimaklumkan, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dipecat berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan pemecatan itu diumumkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang mendakwa berlakunya pengkhianatan terbuka dalam sayap parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

“Berlaku satu pengkhianatan terbuka oleh beberapa watak yang menjadi dalang utama yang jelas bertentangan dan bercanggah dengan pendirian parti dalam perkara kedudukan Perdana Menteri.

“Akibat pengkhianatan terbuka, ia menyebabkan keadaan yang boleh menjejaskan kerajaan PH yang membawa kesan kepada ekonomi dan politik. Kita lihat (kejatuhan) ringgit, bursa saham dan sebagainya.

“Oleh yang demikian, MPP (Majlis Pimpinan Pusat) mengambil ketetapan Azmin dan Zuraida dengan ini dipecat berkuat kuasa serta merta,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.