Malaysia Dateline

Tun M masih dirawat di IJN, usah percaya khabar angin

Anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Datin Marina berharap orang ramai mengabaikan khabar angin mengenai keadaan ayahnya yang disebarkan oleh sumber tidak sahih.

Menurutnya, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sehingga ke hari ini dan mereka sekeluarga ada berinteraksi dengannya.

Beliau memberitahu IJN dan keluarga bekas Perdana Menteri itu akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa.

“Bagi pihak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di dalam dan luar negara, yang menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin.

“Begitu juga orang ramai dari pelbagai agama yang mengirim doa dan ucapan supaya Tun Dr Mahathir cepat sembuh.

“Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan berita tidak sahih mengenai keadaan kesihatan Ahli Parlimen Langkawi berkenaan.