Malaysia Dateline

Tun M peringatkan Johari jangan kelirukan umum

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memperingatkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani supaya tidak mengelirukan umum dengan mengatakan bahawa aliran keluar dana antarabangsa dari Malaysia sebagai sesuatu yang normal.

“Memang, pelabur asing akan mencairkan pegangan mereka di Malaysia untuk membawa keluar wang mereka apabila nilai Ringgit menurun atau bimbang terhadap saham menjunam,” kata beliau dalam tulisan di blognya Chedet semalam.

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Johari seperti dilaporkan Bernama yang berkata, dakwaan kerugian AS$39.6 bilion (US$1= RM4.07) antara 2013 dan 2015 sebenarnya adalah jumlah yang mencerminkan penurunan dalam rizab antarabangsa akibat aliran keluar dana asing dan bukan kerugian disebabkan dagangan pertukaran wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Kata Johari lagi, Aliran keluar ini disebabkan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang lemah, jangkaan dasar normalisasi monetari Amerika Syarikat dan penurunan mendadak harga minyak global.

“Bank Negara sebagai pengurus rizab mata wang antarabangsa kita telah memegang mata wang antarabangsa (bon AS).

“Adalah menjadi tugasnya untuk mempertahankan nilai Ringgit Malaysia sekiranya pasaran hilang keyakinan terhadap pengurusan Kerajaan terhadap kewangan, antara lain.

“Untuk mempertahankan nilai Ringgit, Bank Negara mesti membeli Ringgit, iaitu menunjukkan terdapat permintaan terhadap Ringgit.

“Tetapi, dengan apakah Bank Negara membeli Ringgit? Sumber yang nyata ialah rizab mata wang antarabangsa yang dipegangnya. Secara efektif Bank Negara akan memperdagangkan USD daripada rizab negara untuk nilai Ringgit yang menurun,” kata beliau.

Nilai Ringgit mungkin boleh dipertahankan tetapi jika kurang keyakinan masih terus berlaku dalam pasaran, ia akan memaksa nilai Ringgit terus menurun, katanya.

“Dan Bank Negara akan terpaksa menggunakan lebih banyak USD daripada rizab untuk menyokong Ringgit. Sebagaimana kita tahu, Ringgit tidak pulih dalam tempoh tersebut,

“Pengaliran keluar USD39.6 bilion berlaku hanya jika Bank Negara menjual dolar AS daripada rizab negara, menyebabkan rizab kehilangan wang dalam tempoh antara 2013 hingga 2015. Hal ini diakui oleh Bank Negara sendiri. Inilah yang berlaku apabila Ringgit dibenarkan terapung,” katanya lagi.

Mahathir bertanya, apakah Johari mempunyai penjelasan lain bagaimana rizab boleh merosot?

“Bolehkah beliau menjelaskan mengapa Bank Negara perlu mengikut trend dan menyertai pengaliran keluar USD? Apabila sektor swasta menjual Ringgit yang jatuh untuk membeli USD, mengapa pula Bank Negara menjual USD dan membeli Ringgit yang jatuh? soal beliau.