Malaysia Dateline

Tun M senarai nama 114 MP yang sokong beliau

Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini mengesahkan beliau telah mendapatkan sokongan 114 ahli parlimen untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Tun Mahathir juga menyiarkan secara terbuka senarai 114 nama ahli parlimen yang menyokong beliau termasuk yang terbaru ahli parlimen Bukit Gantang, Perak Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Baru Bian (Selangau, Sarawak) yang sebelum ini bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan PKR juga menyokong Tun Mahathir malam ini.

Beliau memohon Yang Dipertuan Agong mempertimbangkan perkara ini sebelum majlis angkat sumpah Perdana Menteri esok.

Beliau juga berkata, jumlah sokongan ahli parlimen PPBM yang dipersembahkan oleh Tan Sri Muhyidin Yassin kepada Yang Dipertuan Agong juga tidak tepat kerana enam dari mereka menyokong Tun Dr Mahathir.

Keenam-enam mereka adalah Dr Mahathir (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Sadiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Dr Mazlee Malik (Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah).

Sehubungan itu, Tun Mahathir meminta Tuanku Yang Dipertuan Agong menerima penjelasan beliau.

Tun Mahathir bersama pimpinan utama PH dan ahli parlimen yang menyokong beliau dalam sidang media malam ini.