Tun M ulangi pendirian tidak hantar pulang Zakir Naik

Tun M ulangi pendirian tidak hantar pulang Zakir Naik

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau tetap dengan pendiriannya bahawa penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik tidak akan dihantar pulang ke India.

“Buat masa ini, tiada perubahan (pendirian),” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama 1,500 pegawai kerajaan gred 41 hingga 48 di Putrajaya hari ini.

Beliau ditanya sama ada tetap dengan pendiriannya sebelum ini untuk tidak menghantar pulang Dr. Zakir.

Dr. Mahathir awal bulan lalu dilapor berkata, kerajaan tidak akan menghantar pulang penceramah bebas itu sekiranya beliau tidak membuat sebarang masalah.

Dr Mahathir dilapor berkata, Zakir juga tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan taraf penduduk tetap negara ini.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, Zakir tidak dibenar memberi ceramah di semua medium, termasuk dalam media sosial.

Beliau berkata, larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

Larangan itu berikutan laporan polis berhubung dakwaan beliau menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini beeikutan ceramahnya di Kelantan. Dr. Zakir bagaimanapun telah pun memohon maaf dan menafikan dakwaan tersebut.