Malaysia Dateline

Tun M ziarah jenazah Allahyarhamah Tun Rahah jawab teka-teki netizen

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali memberi penghormatan terakhir jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamad Noah di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi dekat sini, pagi tadi.

Kehadiran Tun Mahathir sekaligus menjawab persoalan warga net yang berteka-teki sejak semalam sama ada beliau akan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah ibu Najib memandangkan hubungan dingin di antara dua bekas Perdana Menteri itu.

Namun hari ini, satu gambar Najib Tun Razak sedang berbicara dengan Tun Mahathir telah dikongsi oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada akaun Twitternya hari ini.

“Walaupun pertembungan antara keduanya sangat tajam yang pernah disaksikan oleh sejarah politik Malaysia pemergian bonda bagi seorang anakanda bukan perkara yang kecil sehingga mampu membuatkan keduanya bertemu dan mungkin menzahirkan ucapan takziah secara bersemuka berbanding sekadar di media massa,” tulis seorang warga net.

“Tun Mahathir akui kerana Tun Razaklah dia jadi apa yang dia ada sekarang.

“Melihat gambar ini kita dapat lihat Tun Mahathir tunduk menahan sebak,” kata seorang lagi warga net.

Dalam pada itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenaan berangkat untuk memberi penghormatan terakhir kepada isteri bekas Perdana Menteri kedua itu yang juga ibu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut kelihatan adalah pembesar dan kenamaan-kenamaan lain.