Malaysia Dateline

Tun Mahathir bukan diktator, sokong kepimpinan terajui negara, kata Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan seorang diktator.

“Bagi kita, Perdana Menteri bukanlah diktator. Bagi kita, secara konsisten sekarang, kita pilih Tun Mahathir dan menyokong beliau sebagai pemimpin negara.

“Tak apa lah.. itu pandangan Nurul Izzah. Pandangan kita, peringatan supaya semua pihak faham, setuju dan patuh pada perjanjian serta persefahaman di antara kita. Kemudian menumpukan kepada membangunkan ekonomi dan membela rakyat.

“Sekali Nurul Izzah keluarkan pandangan, saya faham konteks pandangan dia. Perkara itu dah lama dan ia dibesarkan oleh The Straits Times Singapura. Kita nak gaduh pasal apa,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai prestasi kerajaan PH seperti diperkatakan Tun Mahathir, Anwar berkata, Perdana Menteri mempunyai jawapan yang lebih matang.

Katanya, Tun Mahathir cuba menumpukan kepada soalan asas, iaitu mengenai prestasi kerajaan PH dan juga kepimpinan.

“Teguran Perdana Menteri patut diambil berat.. bukan sahaja menteri-menteri, tetapi juga kepada kepimpinan semua. Kita bukanlah nak bebankan semua daripada menteri, kebetulan dia jadi menteri, jadi kena terima lah beban.

“Kalau kita lihat secara keseluruhan prestasi PH, kejayaan terbesar Tun M dan kerajaan pimpinan beliau adalah untuk menyelamatkan kita daripada rompakan yang berlaku sebelum ini.

“Maknanya kita lebih yakin dalam pimpinan sekarang tidak ada bahaya harta dan khazanah negara dilempar atau dirompak oleh pihak tertentu.. bagi saya itu kejayaan terbesar.. kemudian tentulah kita harus menjurus satu-satu langkah yang diambil,” katanya.