Tun Mahathir dan dua Pilihan Raya Kecil

Tun Mahathir dan dua Pilihan Raya Kecil

Tun Mahathir ketika berkempen bersama grup Pakatan Harapan untuk calon Amanah ketika berada di Sungai Besar sehari sebelum pembuangan undi.- Gambar Malaysia Dateline oleh Dalia Ismail.

Suasana kempen di kedua-dua PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar begitu unik sekali dalam sejarah PRK yang berlangsung baru-baru ini. Ia bukan sekadar PRK biasa yang semua telah sedia maklum bahawa segala jentera kerajaan ditumpukan dan rekod menunjukkan kemenangan amat sukar berpihak kepada pembangkang.

Tetapi kali ini sesuatu yang bersejarah telah berlaku apabila mantan Presiden Umno dan mantan Perdana Menteri paling lama iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad telah berkempen untuk Amanah dan Pakatan Harapan. Bapa Wawasan 2020 itu dengan terus-terang mengajak pengundi menolak calon Barisan Nasional kerana logiknya ialah memenangkan BN bererti mengiyakan skandal kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang telah memalukan Malaysia di mata dunia.

Bukan mudah untuk mantan Presiden Umno berbuat demikian, walaupun Bapa Kemerdekaan Tengku Abdul Rahman pernah berkempen atas pentas APU (Angkatan Perpaduan Ummah) satu ketika dahulu atas nama mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden Umno.

Tun Mahathir telah membuktikan bahawa “Negara Dahulu” (Nation First) adalah prinsip yang perlu diperjuangkan. Walaupun satu ketika kepimpinannya penuh dengan kontraversi dan ramai yang masih mengingatinya, namun saya yakin Tun Mahathir telah cuba membawa dirinya above politics dalam menghabiskan masa rehatnya daripada jawatan Perdana Menteri yang pernah disandangnya selama 22 tahun.

Saya berasa kesal kenyataan sesetengah pihak yang ‘menyerang’ Tun Mahathir supaya berhenti dari politik dan berehat. Mereka yang menyebut demikian tidak memahami antara tuntutan politik kepartian dan politik kenegaraan. Tun M tidak berpihak kepada politik kepartian tetapi beliau berpihak kepada kempen “Selamatkan Malaysia” rentas kepartian. Tidak mungkin beliau menyokong calon BN yang penyebab kepada ‘malapetaka’ yang menimpa negara hari ini. Tidak mungkin juga Tun M menyokong calon Pas yang tiada berpendirian malah ‘mesra Najib’ dalam skandal yang melanda negara hari ini.

Tun Mahathir melihat peluang “Selamatkan Malaysia” hanya terletak kepada calon Amanah yang berkongsi cita-cita yang sama. Kempennya jelas bukan bersifat kepartian tetapi Tun M mahu dilihat menjangkau kepartian kepada politik kenegaraan. Malangnya orang seperti Tun Hamid dan yang sama waktu dengannya gagal memahami dan terperosok dalam kesempitan minda dan agenda yang menyempitkan.

Untuk kejelasan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada Tun Mahathir kerana anda telah memberikan keunikan kepada kedua kempen kali ini lantas bersama lembaran baru politik yang telah diusahakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selama era reformasi bermula. Manusia paling kecewa dalam ketawa ialah tiada lain melainkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang menjadi penyebab kepada segala kecelaruan hari ini.

Tidak menghairankan aksi Tun Mahathir dipandang sinis oleh PM Najib, namun dalam kesinisan, hatinya geram dan marah apabila mantan presiden partinya tidak membelanya malah ‘menyerang’ kebejatan kepimpinannya.

 Tun M tidak berkempen untuk menangkan Umno-BN atau Amanah-Pakatan Harapan tetapi Tun M berkempen untuk “Selamatkan Malaysia” yang mana Amanah-Pakatan Harapan telah komited untuk lakukan dalam manifesto PRK kami. Walaupun BN menang, Pas dan Amanah masing-masing seri dalam meraih tempat kedua, ia bukan bermakna Tun Mahathir telah gagal dan suaranya tidak digeruni lagi tetapi hakikatnya ialah Malaysia memerlukan Reformasi Politik menyeluruh dengan pemikiran politik kepartian dan kenegaraan yang segar dan baru.

10. Akhirnya saya bagi pihak seluruh jentera Amanah amat menghargai usaha Tun Mahathir dan isteri serta Tim Deklarasi Rakyat yang berganding bahu bersama Amanah dan Pakatan Harapan untuk kempen “Selamatkan Malaysia” dalam kempen PRK baru-baru ini.

Terima kasih Tun Mahathir.

Semoga usaha Reformasi yang dilaungkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pejuang lainnya dari DAP, PKR dan Amanah selama ini kekal bergaung sehingga PRU ke -14 yang akan datang.

COMMENTS

Wordpress (0)