Tun Mahathir tandatangani sambungan Deklarasi Rakyat, bantah skandal 1MDB

Tun Mahathir tandatangani sambungan Deklarasi Rakyat, bantah skandal 1MDB

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed menandatangani sambungan Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada 4 Mac lalu yang menambah lapan perkara lagi membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan isu 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB).

Beliau mendakwa Najib masih lagi tidak berhenti daripada melakukan kesilapan dalam pentadbirannya walaupun deklarasi rakyat Selamatkan Malaysia itu telah berjaya mengutip 1.2 juta tandatangan rakyat seluruh negara.

Kandungan deklarasi rakyat ini adalah lanjutan daripada 30 isi kandungan deklarasi rakyat yang perlu dijawab oleh Najib dan kerajaan.

“Sambungan deklarasi kali ini lebih menjurus kepada 1MDB kerana beliau masih lagi melakukan banyak kesilapan walaupun kita telah tulis semuanya.

“Saya akan terus menyerang Najib kalau BN menang. Kemenangan BN untuk menambah dua orang yang hanya akan mengiyakan apa yang dikatakan Najib.

“Kita akan terus mengutip tandatangan dan ia akan menjadi berkuasa untuk YDP Agong mengetahui isi nurani rakyat malah seluruh dunia sudah mengutuk negara ini kerana isu 1MDB,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan.

Beliau ditemui pada kempen bersama calon Amanah Azhar Ab Shukur dan pemimpin-pemimpin pakatan Harapan  di Tali Air Lapan, Sekinchan pagi tadi.

Ini adalah pusingan kedua beliau turun ke Sungai Besar selepas turun sebelum ini.

Turut sama menandatangani sambungan Deklarasi Rakyat ini Tun  Dr Siti Hasmah Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden GKCM Kamarul Azman Habibur Rahman dan diikuti beberapa pemimpin Pakatan Harapan.

Tun Siti Hasmah juga menurunkan tanda tangan ke atas sambungan deklarasi rakyat dengan diperhatikan oleh calon Amanah, Azhar Datuk Abd Shukur.Najib sekat program Harith Iskandar

Sebelum itu dalam ucapannya di hadapan lebih 300 ahli dan penyokong Pakatan Harapan, Tun Mahathir mendedahkan Najib telah menyekat program televisyen yang dihoskan oleh pelawak Harith Iskandar yang sepatutnya akan disiarkan pada esok.

“Baru-baru ini  ada rancangan saya ambil bahagian dalam siri televisyen pelawak Harith Iskandar, dia  ambillah video untuk ditayangkan esok.

“Saya akan bersama dengannya atas pentas untuk bertukar fikiran berkenaan perkara yang  mengelikan hati.

“Dia bukan ahli politik tetapi dia pelawak dan nak berlawak tetiba dia diarahkan agar menghentikan program ini,” ujarnya kesal.

Saya bukannya menentang Umno

Bekas Presiden Umno 22 tahun ini juga menegaskan apa yang dilakukannya dalam deklarasi rakyat sejak tiga bulan lalu bukanlah untuk menentang parti tertua negara ini.

“Saya sedar bahawa saya kadangkala dianggap sebagai bekas Umno dulu memimpin parti sekarang menentang Umno pula, saya bukan menentang Umno saya menentang Najib.

“Najib sebagai pahlawan bugis tapi ada orang kata perompak bugis. Sudah rompak parti, Umno pula dijadikan parti Najib.

“Sebab itu saya tidak boleh berada terus dalam Umno kerana parti rompakan najib ini bukan berjuang untuk bangsa dan negara sebaliknya untuk pertahankan Najib saja.

“Nak pertahankan Najib ada dua cara satu ampu satu lagi tutup mulut.

“Saya kata demikian kerana  Najib cuba tutup mulut semua orang sama ada penyokong dia ataupun di pihak pembangkang tidak boleh cakap apa-apa.

“Kalau buka mulut nak kritik dia sumbatnya dedak hingga takleh bercakap, dia dengar kita bercerita hal dia, dia sumbat letak (dedak) dalam telinga, lubang hidung pun dia sumbat dedak,  mata sampai jadi buta tuli.

“Jadi kita nak pilih wakil rakyat yang buta tuli buat apa? Tugas dia hanya berkata pada Najib “ya”…belum pun Najib buat ucapan dia sudah kata: “yayayaya….” itu saja wakil rakyat Najib nih boleh buat.

“Kalau wakil rakyat hanya tahu kata, “yayayayaya…” eloklah jadi  penyanyi,” ujarnya berseloroh memecah derai tawa hadirin.

COMMENTS

Wordpress (0)