Tun Mahathir tolak idea hantar calon Deklarasi Rakyat di PRK serentak

Tun Mahathir tolak idea hantar calon Deklarasi Rakyat di PRK serentak

Desas-desus kononnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan meletakkan calon bebas dari kalangan ahli dan penyokong Umno untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar untuk menentang calon BN tidak mungkin berlaku.

Jika perkara itu berlaku kemungkinan calon bebas itu hanya akan diletakkan di Kuala Kangsar.

Perkara ini disahkan oleh dua penggerak Deklarasi Rakyat iaitu Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman dan Jurucakap Challengers Syed Saddiq Abdul Rahman kepada Malaysia Dateline.

Turut diberitahu satu pertemuan membabitkan sekretariat Deklarasi Rakyat di Yayasan Perdana Putra telah diadakan pada Khamis.

Antara perkara yang dibangkitkan mengenai meletakkan seorang calon bebas di dua PRK ini.

Kamarul Azman yang hadir pada pertemuan itu mendakwa, dari awal Tun Mahathir yang juga penaung GKCM, bersepakat dengan beberapa pihak dalam sekretariat Deklarasi Rakyat untuk meletakkan seorang calon bebas.Kamarulazman Habibur Rahman

“Namun setelah berbincang kami berpendapat adalah lebih baik mengutama persahabatan antara rakan pakatan pembangkang untuk membuktikan lagi semangat setiakawan dalam usaha yang digerakkan bersama melalui Deklarasi Rakyat ini, berbanding kepentingan meletakkan calon bebas dikalangan orang Umno bertanding dalam PRK.

“Kami tidak akan letakkan calon pada PRK. Kami akan berkempen dan menyatakan bahawa Najib adalah pemimpin yang harus berundur,” ujarnya.

Manakala Syed Saddiq yang turut hadir dalam pertemuan itu, mengakui adanya perbincangan mengenai siapa calon bebas untuk dua PRK itu dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.

“Memang ada dibincangkan dikalangan ahli pendokong awal deklarasi rakyat.Tetapi tidak melibatkan pemimpin utama pakatan pembangkang, namun ada wakil mereka dalam pertemuan itu.

“Saya dimaklumkan ada satu lagi pertemuan disebelah petangnya antara Tun Mahathir dengan pemimpin pembangkang. Saya tidak tahu dimana lokasinya kerana saya tidak ada di perjumpaan pada petangnya.

“Betullah apa yang dibincangkan dan disepakati dalam pertemuan itu, kita tidak akan letakkan calon di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Kalau kita nak letak calon bebas hanya di Kuala Kangsar itu yang saya dengar…tetapi itu pun belum cornfirm (letak calon di Kuala Kangsar),” ujarnya ketika dihubungi.

Antara tokoh Deklarasi Rakyat yang hadir di Yayasan Perdana Putra pada Khamis, dimaklumkan antaranya, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa,Datuk Khairuddin Abu Hassan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir,Anina Saadudin, Tamrin Ghafar dan beberapa pemimpin NGO lain.

Pertemuan tertutup itu hanya membabitkan kehadiran kumpulan pertama yang menandatangani Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu.

Hari penamaan calon akan diadakan esok, dalam tempoh 24 jam pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Walaupun Tun Mahathir telah berikrar untuk membantu calon-calon pembangkang yang akan bertanding melawan BN, namun disebabkan keadaan dalam Pakatan Harapan dan Pas yang tidak bersatu, maka ada pandangan dilontarkan lebih baik jika Tun Mahathir tampilkan sendiri calonnya.

Ini tujuan untuk mengacau undi BN pada dua PRK terbabit kemungkinan menjadi kenyataan, mungkin hanya di Kuala Kangsar seperti yang diperjelaskan oleh Syed Saddiq.

Jika benar apa yang dikatakan ‘calon bebas’ pilihan Tun Mahathir itu  bakal muncul, pastinya akan bertembung di Kuala Kangsar untuk menentang Datin Mastura Mohd Yazid (BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (Pas) dan Dr Ahmad Termizi Ahmad (Pakatan Harapan) bukannya di Sungai Besar.

Malahan kempen GKCM di dua PRK di Kuala Kangsar dan Sungai Besar sudahpun bermula sejak seminggu lalu.

Kamarul Azman berkata, siri ceramah GKCM akan digiatkan lagi selepas penamaan calon esok.

“GKCM akan sama-sama berkempen untuk membantu calon parti pembagkang yang bertanding dan memberikan penerangan kepada pengundi atas usaha sebenar dilakukan kumpulan Deklarasi Rakyat.

“Kami ada pentas sendiri sepanjang kempen PRK ini untuk menyatakan pandangan penggerak deklarasi terhadap desakan supaya perdana menteri meletakkan jawatannya.

“GKCM sudah berada di Kuala kangsar dan Sungai besar sejak seminggu lalu dan selepas penamaan calon akan ada ceramah yang lebih tersusun dan padat dijadualkan,” ujar Kamarul Azman.

TAGS