Tun Sakaran Dandai tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

Yang Dipertua Negeri Sabah Kelapan Tun Sakaran Dandai menunjukkan pingat dan sijil tokoh Maal Hijrah 1439H/2017 yang diperolehinya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan  di Masjid Sultan Ismail Petra, Jalan Duta hari ini. – Foto BERNAMA

Bekas Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai, 87, diumum Tokoh Maal Hijrah pada sambutan Maal Hijrah 1439H peringkat kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat dan sijil penghargaan yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib  Razak.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Terdahulu ketika berucap, Sakaran berkata anugerah itu adalah satu pengiktirafan bukan sahaja untuk dirinya, tetapi seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam di Sabah dan anggota Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) yang beliau adalah presiden kepada pertubuhan itu.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa anugerah itu akan menjadi ikatan yang kuat dan menyemai bibit-bibit kasih sayang serta persaudaraan antara rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam mengharungi dunia serba mencabar ketika ini.

“Perpaduan adalah kunci utama untuk kita mencapai nikmat kehidupan bermasyarakat dan bernegara sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Sakaran  dilahirkan di Semporna pada 15 April 1930 mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Semporna dari 1937 hingga 1941 selain belajar di Government Vernacular School, Semporna.

Hasil perkahwinan dengan Toh Puan Siti Rukaiyah Panglima Abdullah, mereka dikurniakan tujuh anak.

Antara sumbangan beliau dalam memartabatkan syiar Islam ialah pengasas pembukaan Rancangan Pulau Semporna, Mentaritip Pegagau dan Lihak-Lihak serta pengasas Pondok Remaja Inabah Kamal.