Malaysia Dateline

Tun Salleh Abas positif Covid-19

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas disahkan positif Covid-19, lapor Bernama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed, berkata Mohamed Salleh yang juga Pengerusi syarikat amanah itu kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan berada dalam keadaan stabil.

“Pihak hospital mengambil langkah berjaga-jaga atas faktor umur Tun. Marilah kita sama-sama mendoakan kesihatan yang terbaik buat Pengerusi kita yang disayangi.

“Semoga Allah memberikan kesembuhan dan mempermudah segala urusan beliau,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan bahawa bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu sedang dirawat di hospital berkenaan.

Beliau tidak memperincikan butiran lanjut mengenainya, lapor agensi media kerajaan itu.