Malaysia Dateline

Tunai haji ini untuk yang mampu, kalau pergi pun nak menipu tak perlulah pergi

Sejak minggu lalu tular di media sosial berkenaan seorang wanita yang menceritakan pengalamannya menggunakan jalan pintas ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji.

Difahamkan, wanita berkenaan menggunakan visa pelancong dan bukannya visa furada yang ditetapkan kerajaan jika tidak menggunakan agensi Tabung Haji.

Seorang pemuda, Mohd Firdaus Jailan yang mendedahkan perkara itu, mengkritik perbuatan wanita berkenaan kerana menunaikan haji tetapi dengan cara menipu.

Dia memberi peringatan agar pihak ini berhenti menipu kerana kelak bakal menyusahkan jemaah haji Malaysia yang sudah di tanah haram.

Katanya, haji ini adalah untuk mereka yang mampu tetapi jika diri masih tak mampu sampai terpaksa menggunakan jalan pintas, tidak sepatutnya berkeras mahu menunaikan haji.

“Pergi haji tapi dengan cara menipu. Pergi nak buat ibadah tapi dalam perjalanan nak ke sana guna cara menipu. I is kennot brain.

“Bila saudi banyak tangkap puak macam ni dan ketatkan lagi visa, bukan sahaja jemaah haji kena tempias teruk, dengan geng-geng umrah sekali kena libas.

“Udah-udahlah beria nak pergi haji ni. Haji ni untuk yang mampu. Kalau kita ni terpaksa menipu dan ambil risiko kena penjara macam ni, tak perlulah pergi haji sebab kita tak mampu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pemuda itu juga menegur agar tidak menggunakan kalimah ‘Allah jemput’ jika begitu kaedahnya mereka masuk ke negara orang dan melanggar peraturan.

“Yang bukan-bukan jer perangai. Mampu ni bukan kira ada duit sahaja. Mampu ikut peraturan dan hak sesebuah negara pun satu kemampuan juga. Kalau tak mampu, tak payah,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam hantaran panjang lebar perjalanan wanita itu yang kemudiannya ‘lenyap’ setelah dikecam netizen, dia ada menceritakan pengalaman ditahan oleh pihak berkuasa Mekah malah turut memberi tips untuk ‘menipu’.