Tunai hasrat sahabat OKU nak ‘merasa’ joging, usaha 3 lelaki tolak kerusi roda banjir pujian

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan tiga pemuda sedang melakukan aktiviti riadah sambil menolak kerusi roda yang dinaiki sahabat mereka tular di media sosial, baru-baru ini.

Berdasarkan rakaman berdurasi 19 saat itu, tiga sekawan berkenaan dilihat menolak rakan mereka yang merupakan orang kurang upaya (OKU) ketika keluar berjoging.

Sempat menimbulkan persoalan, rakan mereka yang menaiki kerusi roda itu rupanya merupakan OKU fizikal berikutan mengalami kudung kaki di sebelah anggota badan.

Perakam video menerusi satu hantaran di platform TikTok memaklumkan, rakannya dikenali sebagai Haikal itu mulanya mengatakan hasratnya untuk beriadah bersama.

Namun Haikal menyedari bahawa hasratnya itu mungkin tidak dapat dipenuhi kerana kekurangan dialami telah membataskan pergerakannya terutamanya untuk beriadah.

Selepas mendengar luahan Haikal, ketiga rakan-rakannya tidak menjadikan keadaan itu sebagai penghalang sebaliknya bersepakat untuk merealisasikan hasratnya.

@marvelshinbe

Selagi kami ada, kau santai je sobat. #sahabat #member #rezeki #fyp #running @F’s 🦖 @Nazz🐯 @haziqzuzuzu ✈︎ ·˚ @hzrq zuzu.

♬ Камин – DR3AM7NG

“Haikal cakap dia tiada kaki tetapi teringin nak rasa suasana joging. Kawan suruh dia bersiap, sekejap lagi kami sampai (ambil Haikal di rumah). Selagi kami ada, kau santai sahaja sahabat,” kata perakam video dalam perkongsian itu.

Dalam rakaman itu, kelihatan Haikal di atas kerusi roda tersebut dengan raut wajah senang sambil ditolak oleh tiga rakannya yang berlari-lari anak di belakang demi mencipta suasana joging seperti diinginkannya.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna terharu melihat keakraban empat lelaki itu selain memuji sikap mereka tidak meninggalkan rakan yang mengalami kekurangan.

Ramai pengguna turut mendoakan ketiga-tiga lelaki yang menolak kerusi roda milik Haikal agar urusan mereka sentiasa dipermudahkan kerana telah melakukan kebaikan kepada sahabat mereka.

Baca juga: Dikecam sebab ulas isu nafkah, Nora Danish tiada niat sindir sesiapa