Tunai janji PRU14: Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia letak jawatan

Tunai janji PRU14: Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia letak jawatan

Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan (gambar atas) menunaikan janji yang telah dibuatnya dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 untuk berundur dari dunia politik sekiranya pemimpin lain yang diangkat menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selain Lim Guan Eng.

Beliau yang begitu lantang menentang kepimpinan Guan Eng telah mengumumkan pengundurannya dengan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PCM kelmarin.

Dalam PRU14 baru-baru ini Huan bertanding di Parlimen Bagan menentang Guan Eng, namun begitu beliau tewas dengan hanya berjaya memperolehi sebanyak 502 undi.

Manakala Guan Eng mendapat sejumlah 51663 undi, calon Barisan Nasional (BN) iaitu Lee Beng Seng pula berjaya mendapat sokongan sebanyak 7751 undi serta seorang lagi calon Parti Bersama Malaysia, Koay Xing Boon hanya mendapat 181 undi.

“Saya mengenali Ketua Menteri yang baru, Chow Kon Yeow sejak tahun 2004 lagi semasa menjadi Ahli Parlimen Tanjong yang diterajui oleh BN.

“Sementara itu Chow ketika itu adalah Ahli Parlimen Batu Kawan.

“Beliau mampu membawa Pulau Pinang kepada satu tahap yang lebih baik pada masa yang akan datang,” ujarnya lagi.

Tegas Huan lagi, beliau akan tetap memainkan peranan sebagai penasihat kepada PCM walaupun tidak lagi memegang portfolio sebagai Timbalan Presiden PCM.

“Apa yang amat diharapkan oleh rakyat negeri ini ialah kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus menunaikan apa yang telah mereka janjikan dalam PRU14 yang lalu.

“Kita ingin melihat apa yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 baru-baru ini iaitu menghapuskan tol Jambatan Pulau Pinang menjadi realiti.

“Begitu jua dengan janji untuk menghapuskan tol Sungai Nyior di Butterworth harus dilaksanakan sebagai menunaikan janji kepada rakyat Pulau Pinang baru-baru ini, ” jelasnya.

Beliau turut berkata, rakyat sedang menanti janji besar yang telah dijanjikan oleh PH iaitu memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehingga membawa kemenangan kepada PH baru-baru ini.