Tunaikan janji menjadi keutamaan PH

Tunaikan janji menjadi keutamaan PH

Yang menjadi keutamaan selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ialah menunaikan segala janji-janji yang telah dibuat dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Ini merupakan kalimat yang dizahirkan oleh Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas majlis pelantikan dan mengangkat sumpah beliau semalam.

Malah katanya, dengan janji-janji tersebutlah rakyat telah memberi sokongan sehingga menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) serta menobatkan Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah kerajaan baru kali ini.

“Dalam tempoh yang terdekat, perbincangan akan diadakan dengan rakan dalam PH bagi pelantikan barisan exco negeri Kedah.

“Tanggungjawab serta amanah yang diberikan oleh rakyat pada kali ini akan dimulakan dengan secepat mungkin.

“Ia termasuklah menerima teguran daripada pembangkang demi kebaikan bersama untuk memajukan negeri ini,” jelasnya.

Tegas Mukhriz lagi, adalah diharapkan pembangkang dapat bersama-sama ‘check and balance’ dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“PRU ke-14 kali ini merupakan suatu pilihan raya yang amat sengit dan paling bersejarah sekali dalam sejarah demokrasi negara.

“Kita turut ingin mengiktiraf Pas dan BN sebagai parti pembangkang dalam Dun Kedah kali ini.

“Manakala barisan pimpinan yang ada dalam PH Kedah turut kukuh serta mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Pusat, ” ujarnya lagi.

Daripada keseluruhan 36 kerusi Dun Kedah, dalam PRU ke-14 baru-baru ini, PH telah berjaya memenangi sebanyak 18 kerusi, Pas 15 dan BN 3 kerusi.

CATEGORIES