“Tunang anggap wanita hanya hamba lelaki, lepas putus mak dia tuduh aku yang menjalang”

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara membuat keputusan untuk memutuskan pertunangannya, seorang gadis dituduh ‘menjalang’ oleh wanita yang pernah digelarkannya bakal ibu mentua.

Mulanya tidak mahu memanjangkan cerita, gadis yang merasa maruahnya tercalar itu kemudian memutuskan untuk bercerita hal sebenar kepada bakal mentuanya itu.

Bukan sahaja tidak menjaga perlakuan di media sosial, bekas tunangnya rupanya mempunyai rasa benci terhadap wanita dan tiada rasa hormat pada kaum lemah itu.

Terkejut apabila mendengar pendedahan tersebut, berikut perkongsian adik kepada gadis berkenaan iaitu Sopi yang mahu kisah tersebut dijadikan sebagai pengajaran.

“Waktu jumpa bakal abang ipar aku ini, nampak baik sahaja orangnya. Tak boleh nak buat andaian lagi. Pejam celik, kakak kumpulkan kami sekeluarga dan cakap dia nak putuskan pertunangan. Kami semua terkejut sebab perkara ini berlaku tiba-tiba.

“Kakak aku hanya memiliki akaun media sosial Instagram sahaja. Facebook, Twitter (X) dan TikTok semua dia tak main. Jadi sekali ini kakak buka Facebook adik dan cari akaun tunang dia. Tiada niat pun mulanya. Sekali nampak perkongsian tunang dia.

“Perkongsian yang ditetapkan bagi tatapan umum (public). Rupanya banyak komen-komen tunang dia melucah dengan kawan. Kakak simpan tangkap layar (screenshot) dan cetakkan komen tidak senonoh itu tunjukkan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Memandangkan perlakuan lelaki itu sangat serius, keluarga gadis terbabit bersetuju untuk memutuskan pertunangan sekaligus membatalkan majlis perkahwinan mereka.

Situasi bagaimanapun menjadi keruh apabila ibu kepada bekas tunangnya itu malah menuduhnya ‘menjalang’ sehingga menjadi punca pertunangan tersebut diputuskan.

“Kakak akui terkejut melihat aktiviti tunang dia di media sosial yang banyak melucah. Selepas itu, kakak daftarlah akaun X. Lagilah, dekat situ siap ada maki hamun lagi. Dekat situ ada tweet (ciapan) yang aku memang ngeri baca. 

Tweet itu mengenai pemerkosaan selepas kahwin. Kami sekeluarga yang selak kertas itu boleh nampak dia punya benci dekat perempuan. Tunang kakak siap kata yang perempuan dan isteri ini hanya hamba lelaki. Bila baca itu memang meremang.

“Dapat rasa dia punya jahat. Banyak lagi ya sebab sampai 15 helai. Yang paling kelakar, selepas seminggu akak putus tunang. Mak lelaki itu telefon dan tuduh kakak aku menjalang sampai putus tunang,” kongsinya.

Perkongsian itu dibuat oleh adik kepada gadis berkenaan menerusi hantaran dimuat naik di sebuah forum di atas talian terkenal tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.

Diharapkan dengan perkongsian itu, mereka yang mahu berkahwin boleh mengambil pengajaran bagi memeriksa akaun media sosial pasangan sebelum berumah tangga.

“Kami datang rumah keluarga bekas tunang kakak. Kertas yang dicetak sebelum ini pun kakak bawa. Mulanya kakak enggan panjang cerita sebab tak nak ramai tahu. Apabila kakak hulur kertas itu, baru tergamam keluarga bekas tunang dia baca. 

“Rupanya bekas tunang dia buat cerita yang kakak aku jumpa jantan lain siap buat hubungan intim. Itu yang nak putus tunang. Kepada yang nak berkahwin itu, periksalah akaun sosial media milik bakal pasangan kalian.” Kata Sopi.

Baca juga: “Isteri marah betul kalau ada gosip artis curang, sekali dia buat benda sama dekat aku”