Malaysia Dateline

Tunggu apa lagi Tajuddin, tariklah sokongan

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak perlu menunggu lebih lama lagi untuk menarik sokongan dari kerajaan Perikatan Nasional.

Ahli Majlis tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, Tajuddin sudah pun dipecat dan tiada apa yang perlu ditunggu lagi.

“Tunggu apa lagi Dato Tajuddin Abdul Rahman. Kamu sudah dipecat sebagai Pengerusi Prasarana.

“Umum segera tarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin. #TakutApaLagi,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya tadi.

Pada semalam, Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah menamatkan perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd berkuat kuasa serta merta.

Menerusi surat yang tersebar, ia disahkan dengan tandatangan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tajuddin sebelum itu dikecam orang ramai ekoran sidang medianya berhubung nahas tren bertembung yang membabitkan ratusan penumpang cedera.

Respon Tajuddin dalam sidang media yang dilihat begitu sambil lewa, mengundang kemarahan sehingga petisyen digerakkan dan mencapai ratusan ribu orang yang menyokong supaya Ahli Parlimen Umno itu dipecat.

Petisyen digerakkan susulan kegagalan bekas Pengerusi Prasarana itu menunjukkan rasa sensitif ketika menjawab soalan-soalan dari wartawan.