Malaysia Dateline

Tunggu arahan Jabatan Peguam Negara untuk kompaun langgar SOP mengelirukan

Laporan media bahawa polis tidak boleh mengenakan kompaun RM1,000 serta merta ke atas Tan Sri Annuar Musa kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa arahan Pejabat Peguam Negara mengelirukan.

Ini kerana, sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri telah diberitakan berkata pada Oktober 2020 bahawa polis boleh nengenakan kompaun serta mereka kepada mana-mana pihak yang melanggar SOP itu.

Portal berita FMT semalam melaporkan, Menteri Wilayah Persekutuan itu belum boleh dikenakan kompaun RM1,000 atas dakwaan melanggar SOP PKP kerana kesnya perlu dirujuk kepada pejabat peguam negara, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin.

Saiful Azly berkata, walaupun percakapan Annuar sudah dirakam semalam, beberapa percakapan individu lain masih perlu diambil bagi mendapatkan fakta dan bukti kukuh.

“Lebih kurang dua jam keterangannya (Annuar) diambil. Siasatan dibuat bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar SOP.

“Jadi, kalau tanya sama ada dia (Annuar) sudah disaman RM1,000 atau tidak, itu belum lagi.

“Hal ini kerana, apabila kertas siasatan sudah dibuka, kami kena dapatkan segala fakta-fakta atau bukti yang ada. Kita akan rujuk kepada pihak peguam negara untuk arahan selanjutnya,” kata Saiful Azly sebagaimana dilaporkan portal itu.

Beliau berkata, kes itu tidak semudah “hanya bayar RM1,000, kemudian selesai”.

Peraturan PKP oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan hanya dua orang saja dibenarkan duduk di setiap meja di premis ketika makan.

Namun Annuar telah dilihat duduk lebih tujuh orang di satu meja dalam satu majlis ketika melawat projek pusat komuniti di Cheras pada Jumaat lalu.

Dalam catatan di Facebooknya, Annuar berkata beliau hanya “duduk sebentar” dan beredar selepas menyedari pihak penganjur tidak mengikut SOP. Penganjur program itu juga sudah memohon maaf atas kejadian berkenaan.

Ekoran keputusan Polis Kuala Lumpur itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mempersoalkan kenapa polis harus merujuk kepada kes Annuar Musa yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kepada Peguam Negara (AG).

Dalam satu kenyataan, dia melabelkan kenyataan ketua polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin sebagai “mengarut” dan “pilih kasih”.

“Mengapa kes Annuar begitu berbeza sehingga perlu sampai ke AG?

“Kecuali Annuar disiasat untuk kesalahan yang tidak dapat dikompaun di bawah Kanun Keseksaan, yang tidak ada petunjuk, dia harus diperlakukan seperti warganegara lain yang melanggar SOP.

“Tentunya, AG mempunyai perkara yang lebih mendesak untuk ditangani seperti berbagai cabaran berhubung nasihat Perdana Menteri kepada Yang Di Pertuan Agong tentang pengisytiharan ordinan yang secara efektif menggantung Parlimen semasa Darurat ini,” katanya.