Malaysia Dateline

Tunggu lampu hijau pun boleh tertidur, ini antara 7 perkara yang boleh dibuat pesakit narkolepsi

Mengantuk berlebihan pada siang hari sehingga tunggu lampu hijau pun boleh tertidur, mungkin itu gejala individu berkenaan menghidap penyakit narkolepsi.

Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Tamara, 39, berkata, walaupun durasi masa tidurnya mencukupi tetapi dia tidak mengerti kenapa rasa terlalu mengantuk pada siang hari.

“Kemuncak kepada masalah saya ini adalah saya tertidur ketika sedang menunggu lampu hijau di tengah-tengah kota Jakarta sehingga polis trafik terpaksa mengetuk cermin kereta saya.

“Saya keluar dari kenderaan dan kemudian terjatuh secara tiba-tiba,” dipetik Sinar Harian.

Mengikut kajian, penyakit narkolepsi cenderung berlaku kepada kaum lelaki selain dipengaruhi sejarah keluarga.

Bekas wartawan dari Indonesia itu berkata, dia sebelum ini kerap tertidur ketika berada di depan komputer, lambat menghadiri janji temu, malah sedang mewawancara responden.

Tamara yang menghidap penyakit itu sejak berusia awal 30-an juga masih terlelap terutama ketika membaca, menonton televisyen dan kadang-kadang ketika berada di meja makan.

“Saya bingung melihat diri sendiri, saya ke hospital dan dirujuk dengan pakar psikiatri, pakar saraf dan pakar tidur.

“Akhirnya, mereka mengesahkan saya menghidap penyakit narkolepsi dengan cataplexy,” ujarnya lagi.

Berikut antara 7 perkara yang boleh dilakukan pesakit narkolepsi seperti dikongsikan Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa untuk mengurangkan masalah mengantuk terlampau pada waktu siang dan seterusnya memudahkan mereka tidur ketika waktu malam:

1. Tidur secara kerap dan singkat yang bersela beberapa jam sepanjang hari.

2. Mempunyai jadual tidur yang ketat.

3. Bersantai dan merehatkan diri sebelum lena. Contohnya dengan mandi air panas terlebih dahulu.

4. Memastikan pesakit mempunyai suasana tidur yang baik seperti memastikan suhu bilik yang selesa, senyap dan tiada gangguan.

5. Elakkan minuman berkafein seperti yang terkandung di dalam kopi, teh dan minuman berkarbonat.

6. Tidak bersenam pada waktu yang terlalu dekat dengan waktu tidur. Sebaiknya, jarak waktu dua jam di antara tempoh tamat bersenam dengan waktu tidur.

7. Tidak memakan makanan berat dan banyak sebelum tidur.

Baca juga Burger tepi jalan RM4, mahal ke? Lelaki ini bongkar berapa modal untuk 1 biji burger

Baca juga Akibat terlalu baik, gangster India tak jadi bunuh Shah Rukh Khan