Malaysia Dateline

Tunggu pengumuman Anwar esok, kata bekas Adun

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau dan bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, masing-masing menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, mantan wakil rakyat Umno itu enggan menyatakan parti yang disertainya sama ada PKR atau AMANAH manakala Idris gagal dihubungi, lapor BH malam ini.

Nor Azman, 57, berkata Majlis Presiden PH sudah mengesahkan penerimaan beliau dan Idris, 55, ke dalam parti komponen PH terbabit.

Menurut Nor Azman lagi, pengumuman mengenai kerusi yang bakal ditandingi mereka akan dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

“Tunggu pengumuman Datuk Seri Anwar esok,” katanya lapor BH.

Desas-desus mengatakan Nor Azman akan menyertai AMANAH manakala Idris PKR.

Dalam hal berkaitan, Anwar dalam sidang media malam ini berkata, PKR dan AMANAH masing-masing akan menerima seorang bekas Adun.

Presiden PKR itu berkata, penerimaan kedua-dua bekas ADUN terbabit disempurnakan selepas perbincangan panjang lebar dalam Majlis Presiden PH.