Tunggu SPRM siasat, kata MB Johor

Tunggu SPRM siasat, kata MB Johor

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu kerana dipercayai terlibat dalam rasuah serta penyelewengan hartanah dibuat berasaskan maklumat dan aduan yang diterimanya.

“SPRM membuat apa pun mesti berasaskan aduan dan sebagainya. Saya tidak fikir dia (SPRM) suka-suka (tahan) seperti apabila dia baru bangun tidur, terus hendak tembak atau pergi mencari orang (suspek),” kata beliau apabila diminta mengulas mengenai penahanan terbabit.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah 2017 di Dewan Taman Cendana, Johor Bahru hari ini.

Mohamed Khaled juga belum dapat memastikan sama ada kerajaan negeri akan turut melakukan siasatan dalaman.

“Kita tunggulah SPRM dahulu, ia kurang matang untuk saya nyatakan awal mengenai apa-apa,” katanya.

Dua hari lepas, enam individu berusia antara 25 dan 50 tahun diberkas SPRM di beberapa lokasi di Johor Bahru, yang terdiri daripada anak dan pegawai khas seorang pegawai kerajaan negeri, dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang awam.

SPRM semalam berkata kesemua suspek disyaki bersubahat dalam kes pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis di Johor.

Selain tangkapan, turut dirampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen.

Sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan jumlah kira-kira RM15.5 juta turut dibekukan.

 

COMMENTS

Wordpress (0)