Malaysia Dateline

Tunggulah mahkamah tuhan, mahkamah paling adil dan tepat, kata Pas

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apabila seseorang yang tidak bersalah telah dibuktikan bersalah, maka itulah keputusannya.

Namun katanya, untuk menjatuhkan hukuman bersalah, perlulah menunggu sehingga proses itu berakhir melalui Mahkamah Persekutuan dan mahkamah tuhan.

“Kita tunggulah proses itu berakhir dengan dua lagi mahkamah. Satu Mahkamah Persekutuan di dunia dan satu lagi mahkamah tuhan di akhirat.

“Mahkamah yang paling adil dan tepat, kerana saksi adalah anggota kita sendiri,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, kalau seseorang dianiaya di dunia, pasti dia mendapat keadilan di akhirat.

Tetapi katanya, jika pesalah itu mungkin terlepas di dunia pasti tidak akan terlepas di akhirat.

“Demikianlah manusia akan merayu dan terus merayu, mengambil apa sahaja ruang bagi menyelamatkan dirinya di dunia dan akhirat.

“Kepada Allah kita berserah,” katanya.