Malaysia Dateline

Tunggulah pilihan raya, Umno pun tak minta jawatan Exco, kata Mohd Amar

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan pelantikan Exco baharu melibatkan Adun Umno dalam kerajaan negeri itu lebih baik dilakukan sehingga pilihan raya akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu juga membandingkan keputusan Pas untuk menolak tawaran lantikan Exco di Perlis dan Pahang kerana “tidak mahu mengusik rumah yang sudah siap”.

“Sebab itu kita tidak terima tawaran Exco di Perlis dan Pahang. Kita tidak mahu usik struktur yang sudah ada.

“Apa-apa perubahan pun tunggulah selepas pilihan raya. Di Kelantan, Umno pun tak minta (jawatan Exco) dan kita pun tak tawarkan,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan negeri Kelantan ibarat “rumah yang sudah siap” ketika Pas dan Umno memeterai kerjasama Muafakat Nasional (MN) pada September tahun lalu.

Beliau memberitahu bukan mudah untuk mengubah struktur kerajaan sedia ada sungguhpun mengakui isu lantikan Adun Umno untuk jawatan Exco ada dibincangkan.

Naib Presiden Presiden Pas itu berkata, ada yang mencadangkan hal demikian dengan membandingkan Kedah dan negeri-negeri lain.

“Kita di Kelantan dan Terengganu ini umpama rumah yang sudah siap, hubungan kita dengan Umno ini berlaku selepas rumah sudah siap.

“Jadi, bukan senang untuk kita ubah, rombak dan renovate rumah yang sudah siap. Silap hari bulan ia boleh runtuh.

“Jadi, lebih baik kita tunggu sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Mohd Amar berkata demikian ketika ditanya berhubung khabar angin pelantikan Exco di kalangan Umno yang kembali berlegar semasa sidang media selepas melawat Pameran Tiga Dekad Pentadbiran Kerajaan Kelantan Membangun Bersama Islam di Muzium Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri Pas mengambil kira peranan dan sumbangan Umno dalam bentuk yang berbeza.

“Memang ada yang bagus dalam Umno, saya pun tahu, tapi bukan masanya,” tambahnya lagi.