Tunisia haramkan purdah di institusi awam

Tunisia haramkan purdah di institusi awam

Perdana Menteri Tunisia Youssef Chahed telah mengisytiharkan melarang pemakaian purdah di institusi-institusi awam yang berkuatkuasa serta-merta mengambil kira soal keselamatan, lapor Al Jazeera.

“Chahed telah menandatangani dekri kerajaan yang melarang individu yang tidak mendedahkan wajah sepenuhnya untuk memasuki premis-premis awam seperti jabatan kerajaan, institusi dan pusat pentadbiran atas sebab keselamatan,” ulas pegawai kepada Reuters News Agency.

Keputusan ini adalah susulan daripada insiden pengeboman di ibu negeri Tunis pada 27 Jun lalu yang telah menyebabkan dua kematian dan tujuh cedera parah. Ini adalah salah satu langkah keselamatan dan berjaga-jaga yang diambil oleh kerajaan Tunisia selepas peristiwa itu.

Sebelum ini saksi menyatakan bahawa pengebom ini menyamar dengan memakai purdah. Menteri Dalam Negeri Tunisia walaubagaimanapun menafikan dan berkata pihak yang tidak bertanggungjawab itu telah mengebom dirinya untuk mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa.

Serangan tersebut merupakan yang ketiga dalam tempoh seminggu dan terjadi ketika musim pelancong asing berada di Tunisia. Pihak Daesh telah mengaku bahawa mereka bertanggungjawab bagi ketiga-ketiga serangan tersebut.