Tunjuk statistik untuk keluarkan Malaysia dari senarai negara ‘K’, kata Musa Hassan

Tunjuk statistik untuk keluarkan Malaysia dari senarai negara ‘K’, kata Musa Hassan

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyarankan kerajaan untuk mengeluarkan statistik yang menunjukkan penurunan kes penculikan di negara ini kepada Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Ia sehubungan dengan pengumuman Travel Advisory (Nasihat Perjalanan) baharu yang dikeluarkan Jabatan Negara AS pada selasa lepas, dengan Malaysia ditandakan sebagai negara ‘K’ tidak selamat kepada pelancong.

Menerusi laman Nasihat Perjalanan ke Malaysia dalam laman web Jabatan Negara AS itu, warga negaranya dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga jika mahu melancong ke Malaysia, terutama ke pantai timur Sabah yang dikatakan berisiko berlaku penculikan.

“Bagi saya, untuk menolak penilaian AS tersebut, Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) seharusnya menunjukkan statistik bahawa kurang berlakunya penculikan di perairan Sabah.

“Kita perlu membuktikan data kita kepada Jabatan Negara AS di sana yang mengatakan bahawa Sabah telah mencatat rekod penurunan kes penculikan di negeri itu.

“Kalau statistik jenayah yang kita keluarkan menunjukkan angka kes yang rendah, mereka (pelancong) akan anggap negara kita selamat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau¬† memberitahu¬† data statistik diperlukan sekiranya ingin menyangkal perkara yang didakwa tidak menunjukkan realiti sebenar, terutama jika ingin mengeluarkan Malaysia dari senarai ‘K’ tersebut.

Beliau turut menegaskan, kerajaan perlu meningkatkan keselamatan perairan di Sabah supaya tiada insiden penculikan warga tempatan, mahupun pelancong yang berlaku di negara ini sekaligus mengembalikan keyakinan terhadap keselamatan negara.

Semalam, Kementerian Luar dalam kenyataannya menyangkal dakwaan AS yang mengatakan Malaysia negara tinggi risiko penculikan dan menegaskan jumlah pelancong yang mengunjungi Sabah pada tahun lalu meningkat sebanyak 5.5 peratus mencecah 3.87 juta orang.

“Dalam pada itu kes penculikan juga menurun serta boleh dianggap tidak lagi berlaku dan timur Sabah terus menarik kunjungan penyelam bertaraf dunia,” katanya.