Tunjuk surat perjanjian serah kuasa jawatan PM, gesa Khairuddin kepada Anwar

Tunjuk surat perjanjian serah kuasa jawatan PM, gesa Khairuddin kepada Anwar
(kiri) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan (kanan) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menunjukkan perjanjian hitam putih menyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menyerahkan kuasa kepada penggantinya, setelah dua tahun menjawat jawatan berkenaan.

Anwar digesa berbuat demikian oleh Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang pada masa sama turut mencabar Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk mendedahkan perjanjian tersebut kepada rakyat sekiranya ia wujud.

“Tolong bagi tahu Anwar bahawa pelan peralihan kuasa memang ada! Siapa pun tak nafikan perkara tersebut! Tetapi, sekiranya ada perjanjian itu, tunjukkannya kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Apa yang saya pertikaikan, adakah sebarang bentuk perjanjian hitam putih yang menyatakan Dr Mahathir kena serah kuasanya setelah dua tahun menjawat jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya?

“Anwar, tolong jangan putar belitkan fakta! Saya tidak pernah menidakkan pelan peralihan kuasa memang dicapai secara sepakat dalam Majlis Presiden PH, tetapi adakah perjanjian secara hitam putih bahawa Dr Mahathir hanya menjadi ‘Perdana Menteri interim’ selama dua tahun saja? soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Khairuddin turut mempersoalkan mengapa Presiden PKR itu hanya ‘membisu seribu bahasa’ melihat segelintir pemimpin-pemimpin PKR menghentam Pengerusi Bersatu itu dalam isu ini pada setiap hari.

“Kepimpinan tertinggi PKR pula tidak pernah menegur ahli-ahli parlimen mereka mengutuk Perdana Menteri! Sebagai ‘backbenchers’ PH sepatutnya perkara ini tidak harus berlaku!!

“Adakah masuk akal ‘backbenchers’ PH mengkritik serta mentohmah Perdana Menteri kerajaan PH?

“Ahli-ahli parlimen ‘bangang’ seperti Datuk Abdullah Sani dan Datuk Johari Abdul sepatutnya diambil tindakan disiplin oleh parti PKR!,” tegasnya lagi.

Khairuddin turut memberitahu Anwar bahawa ‘politik bangang’ ini sesuai untuk orang yang pakar ‘baling batu sorok tangan’ dan berebut kuasa sesama sendiri.

Rabu lalu, Presiden PKR itu mengakui, ada perjanjian bertulis yang menyatakan bahawa beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir.

Jelasnya, perjanjian itu bagaimanapun bukan hanya melibatkan pemimpin Pakatan Harapan sebaliknya, dinyatakan secara umum dengan jelas sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Pertamanya, terdapat satu perjanjian iaitu perjanjian bertulis dan ia (perjanjian) bukan hanya di kalangan pemimpin (Pakatan Harapan), namun mesejnya jelas sepanjang pilihan raya lalu, iaitu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Apabila Datuk Seri Anwar dibebaskan (dari penjara) beliau akan mengambil alih jawatan,” katanya ketika sesi soal jawab Persidangan Kepimpinan Apex di Bangsar.