Malaysia Dateline

Tunjukkan bukti saya cakap Agong Rasis, kata Khalid

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk membuktikan di mana kenyataan beliau yang menuduh Yang di-Pertuan Agong bersikap perkauman.

Beliau menegaskan, kenyataan fitnah yang dileluarkan bekas Perdana Menteri itu terhadapnya sama sekali tidak berasas, malah tidak disebut olehnya dalam program pada 5 Mac lalu.

Pada masa sama, bekas Menteri Pembangunan dan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof turut dipersoalkan selepas menuntut Khalid memohon maaf kepada Agong dengan dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam itu mempertikai kredibiliti Agong.

“(Najib), tunjuk pada saya mana saya kata Agong itu rasis. (Redzuan), sila tunjuk di mana saya lemparkan keraguan terhadap Agong.

“Saya nak beritahu Najib dan Redzuan, tunggu surat peguam dari saya akan tiba,” katanya dalam sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini.

Dalam sidang medianya hari ini, Khalid akan memfailkan saman fitnah RM10 Juta terhadap Redzuan dan Najib.

“Saya dah arahkan peguam saya untuk saman (Redzuan) RM10 Juta kerana ini isu besar dan akan set lebih besar pada Najib.

“Tuduhan yang dibuat adalah serius dan tak ada langsung keluar dari saya,” jelasnya.