Tunjukkan Islam penyelesaian, bukan bawa masalah

Tunjukkan Islam penyelesaian, bukan bawa masalah

Abad ke-15 Hijrah yang bermula sekitar tahun 1980 dianggap sebagai abad kebangkitan semula umat Islam selepas mereka ketinggalan jauh dalam bidang ketamadunan dan negara-negara orang Islam hampir semuanya dijajah oleh penjajah daripada Eropah.

Pesiapan untuk bangkit ini telahpun dibuat bermula sejak abad ke 13 Hijrah lagi oleh gerakan Islam antaranya seperti Masyumi, Syarikat Islam, Nahdatul Ulamak, Hizbul Muslimin, Parti Islam Semalaysia (Pas), Jamiat Islami, Ikhwan Muslimin dan banyak lagi. Gerakan ini muncul dengan keyakinan Islam dan umatnya akan kembali menerajui dunia.

Tidak dinafikan di antara gerakan Islam yang paling banyak mengalami mehnah dan tribulasi ialah Ikhwan Muslimin sendiri. Dalam perjuangan yang panjang, selepas berlaku apa yang disebut sebagai “Arab Spring”, mereka bersama dengan kumpulan yang menguasai masyarakat dan NGO telah menyertai pilihan raya dan akhirnya menang dan berjaya memerintah Mesir. Dr Mohammad Morsi dijulang sebagai presiden yang dipilih oleh rakyat secara sah melalui pilihan raya. Kebangkitan ini turut dirasai dan dibanggakan oleh gerakan Islam di seluruh dunia.

Namun, lebih kurang satu tahun Ikhwan Muslimin dan kerajaan pimpinan Morsi memerintah, mereka kemudiannya ditumbangkan oleh rejim tentera yang melakukan rampasan kuasa. Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak demokratik itu. Bagi kita, sebarang perubahan tampuk kuasa harus dicapai melalui saluran demokrasi.

Namun di sebalik kejatuhan sebuah kepimpinan itu, wajar juga kita melakukan koreksi jika ada kesilapan-kesilapan di pihak yang memegang kuasa. Kebanyakan pemerintah Islam dilihat kurang mengutamakan Maqasid Syariah. Sebaliknya, mereka lebih mengutamakan syariah dalam bentuk hukum perundangan dan bukan maqasidnya.

Walaubagaimanapun, kita tidak boleh sama sekali menafikan atau lebih lagi untuk merendahkan kejayaan Ikhwan Muslimin mengambil alih pemerintahan secara demokrasi di Mesir. Cuma kita hendaklah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dengan mengkaji dari aspek kelebihan dan kesilapan yang berlaku semasa pemerintahan mereka.

AFGHANISTAN

Begitu juga kita melihat sejarah di Afghanistan. Mujahidin Afghanistan hebat sekali menanamkan semangat jihad untuk mati syahid dalam membebaskan negara dan mendaulatkan Islam. Berbekal semangat itu, tentera Rusia dapat mereka tundukkan.

Namun apabila memprolehi kuasa, selepas berjaya mengalahkan tentera Soviet, pasukan mujahidin juga diuji dengan pertelagahan sesama sendiri. Akhirnya berlaku perperangan sesama mereka. Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor salah seorang pendamai kepada pertelingkahan yang berlaku antara puak-puak mujahidin ini. Namun sayangnya usaha perdamaian ini tidak berjaya dan Afghanistan diambil alih oleh Taliban.

Taliban juga tidak banyak membawa perubahan melainkan membawa penderitaan kepada rakyat sehingga membuatkan berlaku serangan pihak barat diketuai Nato. Apabila Afghanistan diberikan demokrasi untuk mengadakan pilihan raya, rakyat telah memilih Hamid Karzai menjadi presiden.

Namun pertelagahan tidak juga berkesudahan. Pembunuhan antara puak berterusan sehingga Afghanistan sekarang menjadi antara negara termiskin di dunia dan amalan rasuah yang cukup tinggi seperti disenaraikan oleh pihak Transparency International.

TURKI DAN ISLAM

Kemudian, kita berbangga dengan Najmuddin Erbakan yang mengetuai parti Milli Selamet di Turki di atas kehebatan dan tarbiah yang beliau miliki sehingga akhirnya berjaya menguasai pemerintahan Turki dan dilantik sebagai presiden.

Beliaulah yang mengusulkan agar negara-negara majoriti orang Islam mengadakan kesatuan. Beliau mengemukakan konsep D-8 atau Lapan Negara Membangun. Ia merupakan sebuah kumpulan negara membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi. Ia mengandungi Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki. Negara-negara Islam memperoleh manfaat yang sangat besar melalui D-8 ini. Apabila bergabung, negara-negara ini membentuk 13.5% daripada populasi global dalam tahun 1997.

Sayangnya, pemerintahan Najmuddin Erbakan juga tidak lama apabila digulingkan dan partinya Mili Selamet berpecah yang kemudiannya menghasilkan Parti Saadat dan AKP.

Kemudian muncul pula Erdogan. Kemunculan Erdogan dibanggakan semua pihak. Namanya dijaja terutama dalam kebijaksanaan beliau menangani isu kemiskinan serta “good governance” sehingga membangunkan Turki daripada kemunduran, kepada pengagihan rezeki lebih adil kepada rakyat.

Kebijakan Erdogan menjadikan AKP dijulang oleh rakyat termasuk musuh-musuh kepada gerakan Islam juga mengakui kehebatan Erdogan dan keupayaan partinya. Selepas beberapa lama berkuasa, beberapa polisi Erdogan mula dikritik oleh rakyat yang mendakwa langkah yang diambil beliau kurang sesuai. Ia termasuk isu pembinaan istana yang didakwa begitu megah dan hebat serta polisi Erdogan yang membenarkan Turki menjadi laluan ketenteraan dalam menangani pemberontakan di Syria dan Iraq.

Turki juga antara negara yang menyokong usaha menjatuhkan Bashar dengan kempen “Bashar must go” terutama ketika perdana menteri Ahmad Donotuglu.

Kemudian Turki menembak jatuh jet Rusia yang didakwa menceroboh ruang udara mereka. Selepas berlaku kemelut diplomatik dan politik, akhirnya Erdogan memohon maaf kepada Rusia dan ingin menjalin semula hubungan baik dengan Rusia.

Paling mengejutkan apabila Erdogan mengumumkan mengeratkan semula hubungan dengan Israel selepas Isrel setuju membayar beberapa juta pampasan kepada mangsa yang diserang ketika memberi bantuan kepada penduduk Gaza.

Akhirnya Julai lalu berlaku pemberontakan tentera dan sekarang dilaporkan lebih 6,000 tentera, sebahagian kecil polis, pensyarah dan guru ditahan untuk disiasat.

Kita juga tidak boleh mengutuk Erdogan selama beliau menjalankan pemerintahan dengan baik tetapi apabila kelihatan ada kecenderungan ke arah kezaliman, kita perlu mengkritik dan memberi pandangan kita.

PAS DI MALAYSIA

Sama juga kepada Pas yang sama-sama kita pernah berjuang dan asaskan. Kita melihat ia lari daripada konsep maqasid syariah dan kepimpinan ulamak disalahertikan serta “dihijack” pihak tertentu, maka wujudlah satu kumpulan yang mahu membuat “reform” yang dinamakan Pari Amanah Negara.

Kita dalam AMANAH megambil pengajaran di atas apa yang berlaku ke atas pemerintahan Morsi, pemerintahan Erdogan dan parti Pas. Kita hadam dan menyedari segala kelebihan dan kelemahan yang ada kepada mereka untuk kita membina satu tajdid kepada kebangkitan semula gerakan Islam di Malaysia dan dunia ini.

Kesilapan sahabat kita pada masa lalu jangan kita ulang. Kebaikan mereka kita jadikan contoh. Kita perlu berusaha membuat pembaharuan supaya Islam dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah dan bukan pembawa masalah. Jangan kita berpatah balik ke belakang.

Jika AMANAH juga berada ditakuk lama, tidak mustahil akan datang akan muncul lagi gerakan baharu yang akan melakukan perubahan untuk meletakkan Islam dan ummatnya dihormati dan disegani.

Ayuh, banyakkanlah mengkaji, bergaul dan mengambil iktibar di atas kesilapan yang lalu untuk terus kita memimpin kebangkitan Islam pada masa ini dan akan datang.

Jangan ada di antara ahli AMANAH menghidupkan semula doktrin parti lama yang telah ternyata gagal.

Oleh itu kita mesti berani membuat perubahan dengan menekankan soal rahmat untuk semua seperti yang kita perjuangkan dalam slogan parti kita.

* Penulis adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah). Tulisan ini disiarkan buat pertama kali dalam akhbar mingguan Amanah.

CATEGORIES