Malaysia Dateline

Tunjukkan pemegang sebenar hakmilik tanah Felda itu, kata MP DAP

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam kenyataan medianya hari ini mempersoalkan siapakah pemegang sebenar hakmilik tanah Felda yang menjadi kontroversi tersebut.

Beliau ingin tahu sama ada geran tanah tersebut masih didaftarkan di bawah nama Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) ataupun Felda dan meminta Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad menunjukkannya kepada umum.

Lim Lip Eng

“Awal minggu ini, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata bahawa skandal tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur bernilai RM27 juta yang dipindah milik kepada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) tanpa satu sen bayaran pun pada tahun 2015 telah diselesaikan, dengan Felda mendapatkan semula hakmilik tanah tersebut tanpa sebarang kos.

“Penyelesaian secara ‘reset’ yang penuh misteri ini menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan ke atas skandal jual beli tanah paling sarat penipuan sepanjang sejarah Malaysia,” kata peguam DAP itu.

Pertama sekali kata beliau, sebarang jual beli hartanah sepatutnya melibatkan duti setem. SPSB sekurang-kurangnya mesti membayar kerajaan sejumlah RM8 juta hanya untuk duti setem sahaja bagi mendapatkan hakmilik tanah terbabit.

Itu pun kalau ia dilakukan dengan satu perjanjian jual beli, dan nilaiannya RM27 juta, dan bukan RM1 bilion seperti yang didakwa para pengkritik, kata beliau.

“Jadi soalannya, berapakah jumlah duti setem yang telah dibayar SPSB, dan adakah pihak berwajib telah mengembalikan amaun terlibat kepada SPSB, atau adakah SPSB telah dibayar oleh Felda setelah hakmilik tanah itu dikembalikan?

“Kedua, adakah Felda mendapatkan semula tanah terbabit bebas daripada bebanan (free of all encumbrances) atau adakah tanah terbabit telah dicagarkan kepada mana-mana bank untuk sebarang pinjaman?” soal beliau.