Tunjukkan solidariti kedamaian,keamanan langkaui partisan, kaum dan agama esok

Tunjukkan solidariti kedamaian,keamanan langkaui partisan, kaum dan agama esok

Persatuan Hindu Sangam mendesak semua parti politik dan penyokong parti bersama-sama hadir pada himpunan Solidariti Kedamaian sebagai rakyat Malaysia yang bersatu hati  cintakan kedamaian dan keamanan.

Presidennya Datuk RS Mohan berkata, himpunan anjuran Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu, melangkaui partisan, bangsa dan agama.

Datuk RS Mohan

“Ini adalah program (Solidariti Kedamaian) yang baik dianjurkan kerajaan untuk semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan fahaman politik.

“Kami mengalu-alukan program sebegini kerana pada masa sekarang semua pihak bukan sahaja orang Islam merasa tertekan dengan insiden yang berlaku di New zealand baru-baru ini,  bahkan rakyat negara ini yang berbilang kaum juga turut merasa tertekan dengan insiden keganasan berlaku di sana.

“Kita berharap sebagai rakyat Malaysia, kita tidak mahu insiden sama berkemungkinan berulang di negara ini.

“Adalah amat penting program sebegini diadakan bagi menyuntik kesedaran kepentingan rakyat di negara ini menjaga keamanan dan kedamaian sesama kita,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Katanya lagi, bagi semua pemimpin politik, beliau berharap tidak menjadikan himpunan Solidariti Keamanan ini sebagai satu agenda politik kerajaan yang memerintah hari ini.

“Kita tidak mahu mana-mana pemimpin dan penyokong parti politik mencampur adukkan himpunan Solidariti Kedamaian yang akan diadakan ini sebagai satu himpunan politik parti tertentu.

“Esok adalah himpunan rakyat yang cintakan kedamaian dan keamanan di negara ini. Himpunan ini untuk mewujudkan satu konsensus bersama rakyat tidak kira kaum, agama dan fahaman politik,” ujarnya.

Beliau berkata, pengisian himpunan itu dengan pidato beberapa pimpinan NGO dan ketua-ketua persatuan agama di negara ini akan dapat menarik semua kaum dan agama hadir pada himpunan Sabtu ini yang akan bermula pada jam 7.30 pagi.

Dijangkakan lebih kurang 10,000 yang akan berhimpun dari Pusat Membeli Belah Sogo yang akan berarak ke Dataran Merdeka.

Baca: Solidariti Kedamaian