Tunku Ismail bakal diumum Presiden FAM Sabtu ini

Tunku Ismail bakal diumum Presiden FAM Sabtu ini

Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya akan disahkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu Sabtu ini, walaupun pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa telah menarik diri hari ini.

Penarikan diri Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (FAM) sekali gus menyaksikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menang tanpa bertanding dalam pemilihan yang diadakan sempena Kongres ke-53 FAM Sabtu ini.

Namun Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara itu masih belum boleh disahkan dan pihaknya masih menunggu makluman rasmi daripada Annuar.

“Saya masih menunggu pengesahan bertulis daripada Annuar mengenai penarikan dirinya daripada bertanding jawatan berkenaan.

“Pengisytiharan kemenangan juga hanya boleh dilakukan pada Kongres FAM yang dijadualkan Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Annuar dalam satu sidang akhbar khas di Bangunan Parlimen hari ini, mengumumkan pengundurannya kerana mahu memberi kemenangan mudah kepada Tunku Ismail yang dilihat komited dan bakal menjadi aset penting buat FAM.

Menurut Annuar, beliau akan memberi sepenuh perhatian dalam bidang politik sebagai Anggota Parlimen Ketereh serta membangunkan skuad bola sepak negeri kelahirannya, Kelantan.

Pemilihan pada kongres itu adalah untuk mengisi 17 kerusi iaitu presiden (satu jawatan), timbalan presiden (dua), naib presiden (empat) dan exco (lapan untuk lelaki dan dua bagi wanita).

Seramai 39 perwakilan dan 20 anggota gabungan FAM layak mengundi pada kongres berkenaan.

Sebelum itu bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa hari ini telah mengumumkan penarikan diri daripada bertanding jawatan presiden FAM  pada Kongres FAM, Sabtu ini.

Beliau berkata keputusannya itu dibuat tanpa desakan dan perbincangan dengan mana-mana pihak kerana mahu memberi penghormatan dan laluan kepada pencabarnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, beliau memberi penghormatan kepada pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu agar baginda diberi kemenangan tanpa bertanding dan diisytiharkan sebagai presiden FAM yang baharu.

“Tunku Ismail perlu diberi peluang yang seluas-luasnya untuk melakukan sesuatu untuk bola sepak Malaysia. Kesungguhan dan komitmen yang dtunjukkan baginda boleh menjadi aset yang penting kepada FAM,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Katanya, pada 16 Nov tahun lepas, beliau telah menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada Tunku Ismail dengan mencadangkan agar baginda memegang jawatan presiden, selain berjanji untuk mengikhtiarkan agar baginda menang tanpa bertanding.

“Hari ini saya tunaikan janji itu…saya berdoa perubahan yang sekian lama yang dinanti dan dijanjikan akhirnya menjadi realiti,” katanya.

Annuar, yang juga anggota Parlimen Ketereh, berkata keputusan itu diambil secara jujur dan ikhlas demi untuk kebaikan dan masa depan FAM dan bola sepak negara.

“Saya tidak membincangkan dengan sesiapa kerana tidak mahu keputusan itu mempengaruhi saya walaupun dengan isteri saya sendiri,” kata penasihat KAFA itu.

Katanya, keputusan untuk berundur itu tidak menghalang hasratnya untuk tetap menghadiri kongres pemilihan FAM itu.

Katanya, beliau akan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam membantu Kelantan meningkatkan lagi program bola sepak di peringkat akar umbi bagi melahirkan lebih ramai bakat di negeri itu.