Tunku Ismail zahirkan kesedihan kemangkatan adinda di FB Johor Southern Tiger FC

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penaung Johor Southern Tiger FC, Tunku Mahkota Johor, Brid.Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan kesedihan dengan kemangkatan adindanya, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim menerusi facebook kelab bolasepak itu.

“Kepada adikku yang dikasihi. Dalam banyak malam yang berlalu, inilah malam yang paling sukar untuk saya. Kita semua amat sayang dan rindukan kamu. Kamu yang sentiasa membuatkan kita tersenyum. Kamu juga kekuatan dan inspirasiku.

“Kamu punyai satu sifat yang kita tiada; jiwa yang penyayang dan rendah diri. Saya sayangkan kamu sepenuh hati dan sangat rindukan kamu. Kamu takkan dilupakan. Namamu akan dibawa oleh warisku. Senyumanmu adalah kekuatanku. Semoga Allah merahmatimu, adikku. Saya sentiasa sayangkan kamu,” ujar Tunku Ismail.

Status yang dimuat naik tengah malam tadi telah dikongsi 7,721 yang turut terkesan dengan kemangkatan Tunku Abdul Jalil.

Antara komen balas daripada peminat bola sepak negeri Johor itu antaranya Qadafi Johari berasal dari Sarawak dan menetap di Johor.

“ Saya sebagai warga Sarawak yang mencari rezeki di bumi Johor menzahirkan rasa dukacita diatas mangkatnya Tengku Laksmana Johor. Diharap semua bangsa Johor redha dengan pemergian seorang putera raja yang amat disayangi dan disanjungi oleh bangsa Johor. Al-fatihah.” ujarnya.

Aini Zaquan pula berkata,” Sedihnya, walaupun aku bkn rakyat johor tapi aku sangat mengagumi arwah tunku jalil.dapat dilihat kesakitan yg dialami melalui raut wajahnya namun masih mampu tersenyum melayan rakyat jelata.sungguh mulia budi pekertimu.semoga ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman.Amin.” ujarnya.

Blackquanna Cruz pula menyebut,” Almarhum sangat kuat melawan penyakit kansernya. Dalam sakit masih mampu bergurau dan membuat orang lain tersenyum. Seorang putera raja yang lembut hatinya dan berjiwa zuhud. Sentiasa merendah diri dan hormat orang tua. Damailah kamu di ‘sana’ Ku Lil. Ramai yang menyayangimu.. semangat pantang menyerah Ku Lil menjadi kekuatan pada yang lain. Al-Fatihah”.

Tidak ketinggalan seluruh persatuan bola sepak negeri Johor turut bersama melahirkan kesedihan dengan kemangkatan Tunku Jalil dengan memuat naik status di dalam Johor Southern Tiger FC malam tadi.

“Merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh Kerabat DiRaja Johor atas kemangkatan YAM Tunku Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor yang telah kembali ke rahmatullah pada 5hb Disember 2015.

“ Ucapan tulus ikhlas dari pasukan Johor Darul Ta’zim, pengurusan dan kakitangan Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Southern Tigers Sdn Bhd dan para penyokong Harimau Selatan.”

Tunku Jalil disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam tadi menerima rawatan di Hospital Sultan Aminah, Johor. Tunku Jalil diputerakan pada 5 Julai 1990 dan merupakan anakanda ke-4 kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, jenazah dikebumikan di Makan Diraja.

Sebelum ini, Tunku  Abdul Jalil kerap menjalani rawatan di hospital luar negara akibat jangkitan berulang terhadap kanser yang dihidapi baginda. Al Fatihah.

CATEGORIES
TAGS