Tuntut pengundi kenang budi, Tok Mat jangan angkuh

Tuntut pengundi kenang budi, Tok Mat jangan angkuh

Kenyataan calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan yang menuntut pengundi di sana agar “mengenang budi” beliau semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan jelas menunjukkan sikap ketidakikhlasan beliau semasa menjawat jawatan berkenaan.

Tuntutan Mohamad Hasan yang juga merupakan Pemangku Presiden Umno kepada pengundi ini merupakan satu permintaan yang sangat angkuh serta mendabik dada serta seolah-olah menidakkan sumbangan daripada kesemua agensi serta penduduk Rantau sendiri yang berusaha dalam membangunkan daerah itu.

Demikian kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu kenyataan semalam.

Ujar beliau, PKR melihat tuntutan Mohamad Hasan ini sebagai terdesak, angkuh malahan memalukan diri beliau sendiri memandangkan adat Melayu tidak sekali-kali mengajar bangsanya agar menuntut supaya dikenang perkara baik yang telah dilakukan.

“Perbuatan Mohamad Hasan ini saling tak tumpah seperti apa yang telah dilakukan oleh mantan ketuanya iaitu bekas Presiden Umno Najib Razak yang meminta pengundi agar “you help me, I help you” pada pilihan raya umum yang lalu.

“PKR menyifatkan tuntutan “mengenang budi” ini terpaksa beliau lakukan setelah beliau terlanjur bahasa dengan berkasar bahawa bukan Melayu hanyalah “penumpang” di negara ini ketika memberi ucapan dihadapan kelompok Melayu di PRK Semenyih baru-baru ini.

Tambah beliau, PKR mendesak agar calon BN itu memohon maaf kepada rakyat Malaysia serta menarik balik kata-kata beliau itu dan PKR seterusnya menyeru agar pengundi Rantau menterjemahkan sendiri betapa sifat dua wajah beliau apabila berhadapan dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Katanya lagi, PKR sentiasa berpegang teguh kepada pendapat bahawa sesiapa sahaja yang dilantik untuk memikul tanggung jawab sebagai Adun haruslah menggalas mandat tersebut dengan penuh amanah, dedikasi dan rendah diri, bukannya untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi menuntut-nuntut di kemudian hari agar membalas kembali kerja-kerja serta budi-pekerti yang telah ditaburkan.

“PKR komited bersama-sama dengan Dr S. Streram, Menteri Besar Negeri Sembilan serta Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelesaikan isu-isu perumahan rakyat mampu milik yang terbengkalai serta tidak dapat diselesaikan oleh Adun dan kerajaan negeri BN terdahulu.

“PKR percaya dan beriltizam bahawa setelah puluhan tahun mengecapi kemerdekaan, setiap penduduk di Rantau harus dan berhak mempunyai kediaman sendiri bak kata pepatah lama “dibilang kato nan ampek, partamo kato pusako. Sanong hati santoso tampek, di sinan ado raso mardeko”,” kata Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.