Reformasi Parlimen perlu disegerakan, gesa Mujahid

Reformasi Parlimen perlu disegerakan, gesa Mujahid

Dr Mujahid YusofSemua Ahli Parlimen harus menyambut baik langkah melaksanakan reformasi terhadap institusi Parlimen seperti disebut dalam titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan pembukaan sidang Parlimen keempat penggal ke-13 di Kuala Lumpur, semalam.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihak pembangkang sejak tahun 2008 lagi menuntut usaha tersebut dilakukan termasuk mewujudkan semula Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang telah dimansuhkan sekitar 1980-an.

“Kita sudah lama bercakap tentang perlunya Parlimen bersifat bebas selain tuntutan masa untuk Perdana Menteri dan tempoh masa perbahasan Ketua Pembangkang,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline, di Parlimen hari ini.

Menurutnya, bagi mencapaistatu Parlimen sebagai badan penggubal undang-undang dan pemantau kepada dasar, beberapa Jawatankuasa Khas harus ditambah.

“Sekarang ini ada lima (Jawatankuasa Khas) saja. Perlu ada banyak supaya ada ruang untuk Rang Undang-undang dibahas, dikaji dan menerima pandangan-pandangan baru.

“Amalan sekarang MP (Ahli Parlimen) macam ‘rubber stamp’, semua serah pada AG (Peguam Negara),” jelasnya.

Selain itu, Mujahid yang juga Naib Pengerusi Amanah berkata, rundingan berkenaan belanjawan tahunan turut sepatutnya melibatkan Ahli Parlimen di pihak pembangkang.

“Kami juga dilantik oleh rakyat. Jadi, mengapa untuk prabajet, pembangkang tidak sama dilibatkan? Macam Bajet 2016 lalu, tidak sampai beberapa bulan diumum, Najib terpaksa umum bajet ubahsuai pula,” ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya, reformasi Parlimen perlu dilaksanakan supaya institusi itu benar-benar berfungsi untuk mengimbangi kuasa eksekutif dan kehakiman.

“Agenda reformasi Parlimen ini demi pengukuhan demokrasi di negara kita,” tambahnya lagi.

TAGS