Malaysia Dateline

Tuntutan 20 peratus royalti minyak tidak digugurkan

Pejabat Ketua Menteri Sarawak menafikan laporan berita agensi antabangsa, Reuters bahawa Sarawak akan menggugurkan tuntutan 20 royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang ini di Kuching, Pejabat Ketua Menteri menegaskan perkara itu masih dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan ketika ini berdasarkan tuntutan yang telah dikemukan.

“Artikel ini amat mengelirukan dan berniat menimbulkan kemarahan,” kata kenyataan itu.

Semalam, Reuters dalam laporannya memetik seorang perunding penting sebagai berkata, Sarawak akan menggugurkan tuntutan untuk royalti sebanyak empat kali ganda yang dibayar oleh syarikat tenaga gergasi Petronas tetapi menuntut perjanjian perkongsian pengeluaran dan perjanjian lain.

Sarawak dan Sabah memiliki rizab minyak dan gas paling prolifik di Malaysia dalam perairan mereka di Laut China Selatan.

Tuntutan royalti mereka sejak sekian lama akan memaksa Petronas milik kerajaan mengeluarkan $7 bilion setahun, menurut kiraan kasar oleh seseorang yang tahu berkaitan perkara tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan lalu berkata, manifesto pilihan raya bagi menaikkan royalti kepada kedua-dua negeri itu kepada 20 peratus tidak dapat dilaksanakan dan boleh ‘membunuh’ Petronas, pengeksport gas cecair asli ketiga terbesar di dunia.

Bagaimanapun, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Sarawak, J.C. Fong, berkata Sarawak telah menyumbang dua pertiga daripada pengeluaran gas keseluruhan di Malaysia dan hampir satu pertiga daripada minyak yang dihasilkan.