Malaysia Dateline

Tuntutan keluar KWSP bukti rakyat makin tersepit, kata Faiz Fadzil

Faiz Fadzil

Desakan rakyat agar kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP Akaun 1 secara ‘one-off’ sehingga RM10, 000 membuktikan rakyat kini berada dalam keadaan tersepit, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Malah, titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa pemulihan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2021 adalah tepat dan wajar.

Menurutnya, pandemik Covid-19 bukanlah faktor tunggal yang menyebabkan kemelesetan ekonomi pada hari ini malah turut disumbangkan oleh kegagalan kerajaan PN mencari polisi yang tuntas merangsang ekonomi rakyat.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga, tegasnya, gagal menyelesaikan masalah rantaian nilai dan juga ketidakstabilan politik PN yang menghakis keyakinan pelabur asing.

“Jika pencapaian mereka benar-benar positif, mengapa pelabur asing lari daripada pasaran saham Malaysia dengan begitu drastik sehinggakan aliran keluar bersih dana asing sepertimana yang dikeluarkan oleh MIDF setakat Oktober 2020 sahaja, melonjak sehingga RM23 billion berbanding RM11. 41 bilion bagi tahun 2019.

“Rakyat, khususnya golongan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih berada dalam kesulitan kewangan, namun begitu ia gagal ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PN.

“Program Subsidi Upah (PSU) seharusnya diteruskan bagi membantu golongan PKS untuk terus bertahan termasuklah moratorium pinjaman bank yang tidak dilanjutkan secara automatik juga boleh menambah penderitaan rakyat hari ini,” ujar beliau lagi.

Tegas Faiz lagi, adalah dianggarkan antara 20 hingga 30 peratus PKS bakal gulung tikar sekiranya tiada pakej rangsangan ekonomi baru yang lebih berkesan diperkenalkan oleh kerajaan.

Tambahnya, akta bagi menangani kesan Covid-19 juga telah mengambil masa yang amat panjang untuk dibentangkan di Parlimen dimana hanya diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos tahun ini, sedangkan akta yang sama telah pun diluluskan di negara-negara lain jauh lebih awal lagi.

Kelewatan ini kata beliau, memperlihatkan kelemahan tatakelola kerajaan PN yang lebih cenderung memberi tumpuan terhadap politik ekoran kerapuhan kerajaan sedia ada.

Sejajar dengan itu ia mendesak kerajaan supaya segera bangkit dari tidur kerana kelemahan mereka yang begitu ketara sudah pasti akan memberi impak negatif yang amat besar terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Lebih ramai rakyat menderita jika kerajaan tiada pakej rangsangan ekonomi baru yang lebih berkesan.