Malaysia Dateline

Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan turun membantu kempen

Tuntutan kerusi Dun bertindih perlu mekanisma penyelesaian, kata Presiden AMANAH

Mohamad Sabu (kiri) menandatangani plak BOP Dun Meranti Rantau Panjang.

Meskipun terdapat rasa kurang senang bagi AMANAH dan parti-parti lain dalam proses pembahagian kerusi di peringkat Dun, perkara itu tidak mengganggu pengukuhan Pakatan Harapan (PH) dalam persiapan menghadapi PRU14 yang akan diadakan bila-bila masa.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata semua parti berhak membuat tuntutan kerusi masing-masing dan tentunya ada tuntutan bertindih yang perlukan mekanisme penyelesaian.

“Pembahagian kerusi Dun hampir selesai di semua negeri dan saya yakin ini akan mengukuhkan kestabilan PH.” katanya kepada media selepas merasmikan Bilik Operasi Pilihan Raya PH Dun Meranti petang semalam.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden PH berkata, kebanyakan negeri telah menyelesaikan hampir keseleruhan manakala yang lain telah melebihi dua pertiga.

“Saya kira di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Perlis hampir selesai seluruhnya.

“Bagi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan telah lebih dua pertiga selesai.

“Bagi negeri Selangor dan Pulau Pinang kita yakin lebih mudah kerana kedua-duanya sudah ditadbir Pakatan Harapan,” katanya.

Bagi pihak AMANAH katanya tohmahan kononnya AMANAH terpinggir dalam proses ini adalah tidak benar.

“Setakat yang telah selesai, bilangan kerusi yang diperuntukkan kepada AMANAH tidak banyak beza dengan parti-parti lain,” katanya.

Menjawab soalan tentang kemungkinan Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali bersama Umno selepas menang pilihan raya beliau berkata semua itu hanyalah andaian.

“Kita bertindak dan bekerjasama berdasarkan apa yang berlaku hari ini dan bukannya berkhayal tentang sangkaan.

“Siapa sangka dulu saya boleh duduk sekali dengan Tun(Mahathir).

“Siapa sangka Presiden Pas boleh duduk sebelah Najib,” soal beliau.

Sebelum itu dalam ucapannya, beliau menyeru semua pihak mengutamakan keharmonian dan hormat menghormati khususnya dalam politik.

“Cukuplah berlaku di tempat lain orang Islam sampai berbunuh bunuhan sesama semdiri.

“Di tempat kita biarlah kedamaian kita teruskan.

“Sama ada sesama dalam kelompok sendiri atau berhadapan kelompok lain jangan sampai konflik antara kita membawa kehancuran.

“Jangan bawa pemikiran takfiri sampai sanggup menjadikan kawan dan keluarga diperangi tanpa tolak ansur,” katanya.

Mohamad Sabu bergambar bersama petugas BOP pilihanraya Dun Meranti selepas majlis perasmian diadakan.