Segerakan PRU: Pemimpin BN tidak berpijak dibumi nyata, kata Iskandar

Segerakan PRU: Pemimpin BN tidak berpijak dibumi nyata, kata Iskandar

Jawapan pemimpin Barisan Nasional (BN) kepada tuntutan Pas agar diadakan pilihan raya umum dengan segera menunjukkan betapa BN tidak lagi berpijak di bumi yang nyata, kata Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Samad.

Beliau mendakwa terdapat pemimpin BN yang menempelak Pas dengan berkata bukan Pas yang patut menuntut pilihan raya diadakan tetapi rakyat.

“Pemimpin tersebut nampaknya tidak nampak bahawa Pas juga mewakili rakyat.

“Pemimpin Pas adalah rakyat, ahli-ahli Pas adalah rakyat dan wakil-wakil rakyat Pas sudah tentu mewakili rakyat.

“Sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin tersebut merupakan sikap BN hari ini yang merasakan mereka terlalu besar sehingga tidak boleh ditegur.” ujarnya dipetik di portal rasmi parti itu hari ini.

Kata beliau pandangan rakyat hanya diketepikan begitu sahaja. Tidak ada lagi rasa hormat kepada rakyat.

“Rakyat Malaysia telah menyatakan kemarahan dan rasa tidak puas hati mereka.

“Imej negara di peringkat antarabangsa teruk tercemar. Tetapi pemimpin BN telah memekakkan telinga mereka dan membutakan mata seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku walhal rakyat terus menderita.

“Oleh itu tuntutan agar Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan adalah paling wajar. Imej negara perlu dibersihkan dan rakyat perlu diselamatkan dengan segera.”katanya.

TAGS